Jumaat, 14 Mei 2010

Cadangan lantik guru bimbingan, kaunseling kerjaya sepenuh masa

2010/05/14

PERKHIDMATAN bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah satu elemen terpenting dalam menyokong keberkesanan sistem perkhidmatan pendidikan di negara ini.

Pada peringkat sekolah rendah, guru bimbingan dan kaunseling dipertanggungjawabkan secara terus dalam membangunkan sahsiah dan memperkembangkan potensi individu murid ke tahap yang membanggakan.

Bagi merealisasikan hasrat ini, beberapa langkah dan cadangan membina boleh dijadikan panduan bagi memantapkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah rendah.

Antaranya, guru bimbingan dan kaunseling perlu dilantik sebagai kerjaya sepenuh masa. Pelantikan ini perlu bagi mengelakkan guru terbabit terus dibebani dengan pelbagai kerja sampingan yang tiada kaitan dengan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.

Pelantikan sebagai guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah hanya boleh dilakukan oleh Kementerian Pelajaran. Perkara ini perlu bagi memastikan hak guru bimbingan tidak diabaikan dan dipatuhi oleh semua pihak.

Jangan babitkan terlalu banyak aktiviti lain kepada guru bimbingan dan kaunseling agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan lebih berkesan.

Pemantauan oleh Jabatan Pelajaran Negeri, nazir dan Kementerian Pelajaran perlu dilakukan lebih kerap terhadap perkhidmatan diberikan oleh guru kaunseling di sekolah rendah supaya mengikut garis panduan ditetapkan.
Jawatan guru bimbingan diisi oleh mereka berkelayakan dalam bidang kaunseling, bukannya dilantik di kalangan guru sedia ada yang sudah diberi amanah untuk mengajar mata pelajaran tertentu dalam kelas dan kerja berkaitan pembangunan akademik dan kokurikulum.

Tambahkan kuota guru bimbingan dan kaunseling cemerlang bagi menarik minat golongan ini untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

WARGANEGARA MALAYSIA PRIHATIN,
Alor Setar, Kedah

Berita Harian Online: 14 Mei 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Teruskan usaha ini sekolah kurang murid juga patut ada guru bimbingan

mahfuzah berkata...

Amat menyokong cadangan ini. Merupakan satu usaha yang baik dan patut dilaksanakan secepat mungkin memandangkan usaha melahirkan modal insan selaras dgn hasrat PIPP amat penting untuk pembangunan negara dan ianya harus dimulakan sedari peringkat sekolah rendah lagi

SYAM berkata...

GBK sepenuh masa ada skop tugas yang jelas.
Bagaimana pula skop tugas GBK lantikan sekolah?