Khamis, 13 Mei 2010

Pegawai berjawatan tinggi lagak mandur, beri tugas bebankan guru

2010/05/13

SEJAK akhir-akhir ini sering kedengaran suara guru mengeluh kononnya dibebankan dengan banyak tugas yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

Tidak kurang pula terus merayu dan meminta agar skim perkhidmatan guru ditambah baik, gaji dinaikkan dan bermacam-macam lagi permintaan. Persoalannya, benarkah guru dibebankan dengan pelbagai tugas yang tidak sewajarnya mereka lakukan?

Sebagai seorang guru yang sudah berkhidmat melebihi 34 tahun, saya dapat rasakan bahawa sejak diwujudkan terlalu banyak jawatan kenaikan pangkat untuk guru sama ada di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan di sekolah, semakin banyaklah arahan dan kerahan diterima oleh guru di sekolah.

Semua pemegang jawatan itu seolah-olah menurunkan kuasa mereka kepada guru saja. Kebanyakan pemegang jawatan ini hanya menjadi ‘mandur’, sentiasa berfikir untuk melaksanakan pelbagai program tetapi tugas mereka hanya sekadar membuat kertas kerja tetapi yang dikerjakan ialah guru.

Tidak hairanlah, jika guru di sekolah dibebani dengan tugas tidak sepatutnya mereka laksanakan sedangkan tugas hakiki guru ialah mengajar di bilik darjah.

Jika guru melaksanakan tugas mengajar dan aktiviti kokurikulum saja, tentulah tugas mereka tidak seberat mana.

Sebagai contoh, jika pihak sekolah ingin menjemput pengarah pelajaran atau pegawai pelajaran daerah datang ke sekolah untuk merasmikan sesuatu acara, guru terpaksa melatih pelajar untuk membuat persembahan, raptai perbarisan, menyusun dewan, menyediakan jamuan, sediakan teks ucapan dan bermacam-macam lagi agar pegawai yang hadir rasa dihargai.
Selain itu, kurangkan bilangan pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah, cukuplah sekadar ada pegawai pelajaran dan dua tiga orang penolongnya saja, yang lain kembalikan ke sekolah untuk mengajar. Pihak kementerian sewajarnya menambah bilangan jemaah nazir untuk memantau pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Apa yang berlaku sekarang, semua pegawai jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah pergi ke sekolah untuk melihat guru di bilik darjah, tetapi malangnya kebanyakan daripada mereka semasa menjadi guru tidak sehebat manapun, maka jika mereka ke sekolah tidak ramai guru menghormatinya kerana latar belakang mereka amat diketahui.

Begitu juga dengan Pusat Kegiatan Guru (PKG) yang tinggal sebagai gajah putih. Setiap PKG sekurang-kurangnya ada empat pegawai yang kurang berfungsi. Kembalikan mereka ke sekolah untuk mengajar agar beban tugas guru dapat dikurangkan.

Hakikat yang jelas, semakin ramai pegawai maka semakin banyak arahan dan semakin kurang guru mengajar.

GURU C2 1976,
Batu Pahat, Johor

Berita Harian Online: 13 Mei 2010

3 ulasan:

siti khajaruain berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...

saya setuju dgn pendapat bahawa guru banyak dibebankan dgn tugas yg diturunkan oleh pegawai2 PPD mahupun JPN yg berlagak mandur... tak perlu rasanya disebutkan di sini. saya rasa elok pihak kementerian siasat hal ini.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,

memang berlaku situasi guru dibebankan dgn tugas yg diturunkan oleh pegawai2 PPD mahupun JPN yg berlagak mandur. ini berlaku terutamanya kepada Guru Data sekolah. Bebanan tugas ini memberi tekanan kerja dan juga gangguan terhadap p&p guru data di sekolah. sedangkan guru data sukar mendapat hak mereka iaitu waktu mengajar tidak melebihi 12 waktu. (jika dapat 12 waktu pun sering mendapat relief). perkara ini harus diambil perhatian dan tindakan. terima kasih...