Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/05/07
Bantu kanak-kanak lembap kuasai kemahiran 3M KUALA LUMPUR: Seramai 15,500 guru pemulihan yang akan mengendalikan Program Literasi dan Numerasi (Linus) selesai menjalani kursus untuk membantu murid Tahun Satu yang gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).
Sehubungan itu, katanya, setiap sekolah sepatutnya sudah mengenal pasti murid yang akan diasingkan ketika subjek Bahasa Melayu dan Matematik untuk membolehkan mereka mengikut pembelajaran menerusi Linus.
“Modul untuk Linus termasuk buku aktiviti juga sudah siap, malah ada sekolah sudah memulakan program ini sejak April lalu,” katanya.
Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan program Linus khusus untuk murid yang dikenal pasti lembap dalam pembelajaran.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, program itu antara empat inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memperkukuhkan tahap literasi murid sekolah rendah daripada 87 peratus tahun lalu kepada 90 peratus tahun ini.
Menerusi Linus, kerajaan menetapkan sasaran semua kanak-kanak berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah.
Noor Rezan, berkata tiga model utama digariskan bagi memudahkan pengurusan sekolah melaksanakan Linus dengan berkesan mengikut kesesuaian dan situasi sekolah, guru dan murid masing-masing.
“Jika kelas terhad, guru aliran perdana boleh berkongsi kelas dengan guru Linus kecuali ada ruang lain yang lebih sesuai untuk mengasingkan kedua-duanya.
“Menerusi model kedua, dua kelas yang mempunyai murid pemulihan perlu diubah jadual waktu harian untuk subjek Bahasa Melayu dan Matematik supaya kedua-dua dapat dipecahkan antara kelas perdana dan Linus,” katanya.
Beliau berkata, bagi model ketiga pula, ia membabitkan kumpulan murid yang kecil apabila kelas dipecahkan kepada tiga membabitkan murid arus perdana, Bahasa Melayu dan Matematik.
Katanya, semua murid Linus hanya diasingkan pada dua subjek terbabit kerana program ini memberi penekanan khusus kepada aspek 3M membabitkan Bahasa Melayu dan Matematik.
Berita Harian Online: 7 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan