|
|
KUANTAN 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan dua buah buku mengenai warga pendidik yang diterbitkan oleh Utusan Publication & Distributors (UP&D) Sdn. Bhd. sempena Festival Hari Guru 2010 peringkat kebangsaan di East Coast Mall di sini.
Buku berjudul Karekter Guru: Ilmu Diagung, Guru Disanjung dan Kerja Bukan Kerana Pangkat itu didedikasikan khas kepada semua pembaca sempena Hari Guru agar dapat menyelami perasaan sebenar warga pendidik.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut diraikan oleh Kumpulan Utusan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-63 semalam.
Kemunculan sebiji kek yang disumbangkan khas oleh Hotel MS Garden dengan diiringi nyanyian lagu Selamat Hari Jadi oleh para pelajar dan orang ramai yang hadir ke festival berkenaan cukup mengejutkan beliau.
Dalam pada itu, buku Karekter Guru: Ilmu Diagung, Guru Disanjung hasil karya Mohd. Sahandri Ghani Hamzah, Ramli Basri dan Shafee Mohd. Daud setebal 212 muka surat itu menghuraikan nilai peribadi yang perlu dimiliki oleh seorang insan bergelar guru bagi meningkatkan kualiti dan nilai profesion perguruan.
Buku Kerja Bukan Kerana Pangkat hasil nukilan Mumtaz Began Abdul Kadir setebal 168 muka surat pula, memberi panduan kepada pembaca bagaimana untuk menjadi seorang pekerja cemerlang.
Buku yang masing-masing dijual dengan harga RM18.70 dan RM16.50 itu boleh didapati di kedai buku terpilih di seluruh negara.Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan