Rabu, 12 Mei 2010

IPG Keningau tumpu pedagogi pedalaman


PENNY Lim (empat dari kiri) merakam kenangan bersama Pengetua IPG Kampus Keningau pertama Jikal Gabie (tiga dari kiri) yang bertanggungjawab dalam pencarian tapak IPG. Turut kelihatan bekas pengetua lain iaitu Aminah Musaly (dua dari kanan), Mohamad Darus Jamian (kanan) dan Tan Sri Suffian Koroh (tengah) dalam sebuah Majlis Pengisahan Sejarah institut itu, di Keningau baru-baru ini.


KENINGAU 11 Mei - Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Keningau yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu telah melahirkan lebih 12,000 guru, sama ada menerusi latihan sepenuh masa, kursus dalam cuti atau kursus perkhidmatan dalam perkhidmatan.

Pengarah IPG Keningau, Penny Lim berkata, guru-guru keluaran IPG bukan sahaja bertugas sebagai guru di sekolah seluruh negara tetapi turut menjawat jawatan pegawai pendidikan di kementerian, pegawai pendidikan daerah, pensyarah IPG dan institut pendidikan awam lain.

''Dari segi perkembangan dan pencapaian, banyak yang sudah dicapai IPG Keningau. Bagaimanapun, kita sentiasa merangka pelbagai program baru seperti Projek Model Pensiangan-Salinatan yang bertujuan menjana kecemerlangan pendidikan pelajar di kawasan Pedalaman," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Penny berkata, Projek Model Pensiangan-Salinatan yang bermula 2004 merupakan hasil cetusan idea bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat ketika melawat Pensiangan dan Salinatan pada 29 Julai 2003.

Katanya, objektif awal projek itu ialah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam mengendalikan pedagogi pribumi dan memupuk jati diri guru ke arah budaya kerja cemerlang.

Beliau menambah, hasil daripada projek itu, kini terbentuk Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi dan Jabatan Pedagogi Pribumi Pedalaman di IPG Keningau tahun ini (2010).

''Jabatan Pedagogi Peribumi Pedalaman peringkat IPG Kampus ini bertanggungjawab menyelaraskan program Pensiangan-Salinatan, Pedagogi Peribumi Pedalaman, Bahasa Dusun dan Sosiobudaya Pedalaman," katanya.

Penny berkata, seperti IPG lain, IPG Keningau turut mengalami perubahan dalam kursus yang ditawarkan.

Katanya, bermula dengan Kursus Perguruan Asas (KPA) peringkat sijil dan Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) pada 1996, IPG tersebut kini mengendalikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Kursus Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).

Selain itu, turut ditawarkan adalah Kursus Dalam Cuti (KDC) seperti j-QAF dan LPBS-KDPM.

Beliau menambah, bilangan kursus dan opsyen akan ditambah dari semasa ke semasa seiring dengan pertambahan dan naik taraf kemudahan sedia ada.

Menurut beliau, pada masa ini, IPG Keningau mempunyai seramai 81 pensyarah dengan bilangan pelatih 797 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 484 pelatih sepenuh masa yang terbahagi kepada empat program iaitu KPLI, PISMP, PPSIMP dan Asas Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Sementara itu, seramai 313 pelatih mengambil Kursus Dalam Cuti (KDC) juga terbahagi kepada empat program seperti J-QAF, Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) dan Pensiswazahan Guru Sekolah Rendah (PGSR).

Penny berkata, IPG Kampus Keningau yang dahulunya dikenali Maktab Perguruan Keningau telah diterajui enam pengetua dan pengarah dimulai Jikal Gabie, Adenan Wagimin, Aminah Musally, Teresa Kinajil, Aron Warso dan Jame Alip.

Katanya, dalam menentukan hala tuju, IPG berkenaan sentiasa berpegang kepada slogan 'Bersama Menjulang Kecemerlangan'.

Bercakap mengenai pencapaian, Penny berkata, IPG Keningau yang melaksanakan sistem pengurusan berkualiti dianugerahkan sijil MSISO 9002: 1994 pada Jun 2002 dan pada Jun 2004 dianugerahkan pula sijil MS ISO 9001:2000.

Sehingga kini, ujar beliau, IPG itu melaksanakan sistem pengurusan berkualiti yang mematuhi standard MS ISO 2001:2008.

Selain itu, jelasnya, IPG itu juga telah mendapat pengiktirafan Anugerah Inovasi Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Projek Hari Bunga pada 2000 dan pada 2001 IPG itu terpilih sebagai pemenang tempat kedua dalam pertandingan Landskap peringkat Negeri Sabah.

Dari segi pengurusan kewangan, tambahnya, IPG Keningau juga mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan dan Perakaunan kategori IPG/Kolej matrikulasi sempena Majlis Hari Kualiti Kementerian Pelajaran Malaysia 2008 dan mendapat tempat ketiga.


Utusan Malaysia Online: 12 Mei 2010

Tiada ulasan: