|
|
JOHOR BAHRU 11 Mei - Seramai 300 lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, di sini yang baru menamatkan pengajian berjanji komited melaksanakan tugas masing-masing.
Rata-rata penerima diploma ini yang ditemui Utusan Malaysia semasa majlis konvokesyen IPG berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di sini baru-baru ini bertekad akan mendidik anak bangsa dengan bersungguh-sungguh.
Bagi Nur Aufa Osman, 25, berjanji meneruskan tugasan sebagai guru mata pelajaran Fizik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah yang telah dimulakan sejak Ogos tahun lalu.
"Sememangnya pengalaman mengajar di sekolah dan pada masa yang sama masih menuntut di IPG ini banyak memberi pengalaman baru kepada saya.
"Alhamdulillah, saya bukan saja berjaya menamatkan pengajian tetapi turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang," kata anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang itu.
Perasaan sama turut dikongsi N. Vimala, 28, yang mengajar kelas pemulihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lambak, Kluang sejak 2007.
Dia bertekad akan menggunakan segala pengalaman yang diperoleh semasa menuntut di IPG tersebut untuk mendidik muridnya kelak.
"Bagi saya, kelas biasa ataupun kelas pemulihan tiada beza kerana tumpuan yang harus diberikan adalah sama," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik.
Soh Peck Wah, 29, turut bersyukur apabila cita-citanya untuk menjadi seorang guru tercapai.
Dia akan meneruskan tugas sebagai guru mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Melayu dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Notre Dame, Melaka selepas ini.
Peck Wah yang terkenal di kalangan rakan sekuliah sebagai pelatih yang banyak bertanya kepada pensyarah akan menerapkan sifat tersebut kepada anak muridnya kelak.
"Bagi saya sikap banyak bertanya amat penting agar persoalan yang kita tidak faham mendapat jawapannya berbanding jika kita berdiam dan malu bertanya," katanya.
Utusan Malaysia Online: 12 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan