Jumaat, 21 Mei 2010

Pelajar pekak cemerlang kesal tak dapat jadi guru

2010/05/21

GEORGETOWN: Impian seorang pelajar pekak, Muhammad Affan Ghazali, 20, yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 untuk menjadi guru tidak kesampaian kerana permohonannya untuk mengikuti Kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah, ditolak.

Muhammad Affan yang memperoleh 2A dan 3B dalam peperiksaan itu bercita-cita menjadi guru bagi membantu insan senasibnya, kecewa kerana permohonannya tidak mendapat perhatian, malah tidak dipanggil untuk temu duga.
Beliau mendapat A bagi subjek Menservis Peralatan Elektrik Domestik dan Pendidikan Seni Visual manakala B bagi subjek Bahasa Melayu, Pengajian Islam dan Sejarah.
Beliau yang mengalami kecacatan pendengaran sejak berusia enam tahun kerana demam panas, adalah bekas pelajar jurusan sastera Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, di sini.

Bercakap pada sidang media menggunakan bahasa isyarat sebelum diterjemahkan jurubahasa, Muhammad Affan berkata, beliau memohon mengikuti kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) kerana ingin menjadi guru pendidikan khas.

“Saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam tetapi berasa tidak bersedia kerana ingin menyambung pengajian dalam bidang pendidikan khas bagi membantu pelajar seperti saya,” katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendakwa, menerima panggilan telefon daripada seorang pensyarah Politeknik Ungku Omar, Perak, awal bulan ini yang menyatakan beliau ditawarkan tempat bagi mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Awam.
Bagaimanapun, selepas membuat semakan, beliau tidak ditawarkan tempat di politeknik itu, katanya.

“Saya seperti dipermain-mainkan dan ini amat mengecewakan saya dan keluarga,” katanya.

Berita Harian Online: 21 Mei 2010

Tiada ulasan: