Akhir-akhir ini sering dipaparkan di dada akhbar mengenai beban tugas guru yang semakin bertambah. Ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa Kementerian Pelajaran dan pucuk pimpinan kerajaan adalah punca segala-galanya.
Hakikat ini tidaklah benar semuanya. Ini kerana setiap arahan mahu pun sesuatu bidang tugas yang diturunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk dilaksanakan oleh pihak sekolah lazimnya melalui pelbagai peringkat kajian atas kewajaran sesuatu tugas itu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah.
Beban tugas yang semakin berat dan bertambah seringkali datang dari kerenah Pengetua dan Guru Besar itu sendiri yang tidak cekap dalam memimpin guru-guru di sekolah. Perlu disedari bahawa bukan semua guru merasa terbeban dengan tugas yang kononnya makin bertambah kini.
Sebaliknya bebanan tugas ini timbul di sekolah yang dipimpin oleh golongan Pengetua dan Guru Besar yang tidak memiliki kemahiran memimpin dunia pendidikan dengan ertikata yang sebenar.
Mengambil contoh, rungutan bahawa guru kini dibebani tugas perkeranian dan pelbagai lagi tugas pendokumentasian. Dalam hal ini Pengetua dan Guru Besar yang harus dipersalahkan kerana mereka yang tidak bijak menghalakan tugas-tugas seperti perkeranian, pungutan data dan pendokumentasian sesuatu dokumen.
Mereka lebih terarah untuk mengarahkan guru-guru melakukan tugas-tugas seperti ini kerana apabila diberikan tanggunjawab ini kepada guru, ia akan selesai dengan baik kerana nilai kecekapan dan kebertanggungjawaban guru adalah tinggi dengan anggapan bahawa sesuatu tugas itu akan selesai dengan baik tanpa risiko kegagalan.
Malahan ditambah pula sikap sesetengah Pengetua dan Guru Besar yang meletakkan keutamaan cita-cita peribadi mengatasi kemampuan dan kesediaan organisasi itu sendiri. Maka akan terjadilah guru terpaksa bertugas saban Sabtu tanpa cuti. Guru-guru terpaksa akur kerana di akhir tahun risau akan penilaian Pengetua dan Guru Besar. Dakwat pena Pengetua dan Guru Besar lebih hitam di saat-saat sebegini.
Guru-guru seringkali lebih tertekan dan terbeban seandainya organisasi mereka dipimpin oleh Pengetua mahupun Guru Besar yang buta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana semua dokumen perlu disediakan dalam tulisan tangan yang sudah semakin ketinggalan kini. Ini termasuklah terpaksa menyediakan rancangan pengajaran berulangkali dalam sehari sedangkan KPM telah menyediakannnya dengan lengkap segala isi dan huraiannya sekali.
Oleh itu seluruh warga KPM, Kesatuan Guru dan warga pendidik harus merenungi hakikat beban guru yang menjadi sebutan di saat ini. Walaupun pelbagai jawatankuasa ditubuhkan namun semua cadangan tidak terlaksana sehingga ke saat ini.Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2010
2 ulasan:
ya... kalau guru besar dan pengetua yang dekat nak pencen, lagi teruk guru2...hahahahaha... nak jaga prestasi guru besar dan pengetua yang lagi beberapa bulan nak pencen... sekolah masa tu mesti kena tip top.. filing, data, prasarana, aktiviti...woooo... sekolah yang dapat pengetua atau guru besar nak pencen memang akan sakit jiwa. (kecuali pengetua dan guru besar ni cekap... tetapi masalahnya, mereka rasa mereka cekap dan dah tak nampak kelemahan diri sebab dah nak pencen sangat-sangat...) hahahaha... kepada pengetua dan guru besar berkenaan, cermin-cermin diri... jangan sampai ada guru yang tak hadir majlis atau jamuan persaraan...
Salam, Mengapa isu Kepemimpinan Pengetua di sensasikan oleh Kementerian Pendidikan. Mengapa menyalahkan pengetua atau GB yang anda lantik. Macam lagu bangau oh bangau. Menunding Jari menyalahkan orang lain. Bagaimana proses pemilihan pemimpin sekolah dibuat. Adakah perlantikan pemimpin sekolah satu realiti bukan sebagai satu retorik. Pemilihan dan prosedur kenaikan pangkat pengetua @ GB sekolah perlu mengikut satu metod yang ditentusahkan. Pemilihan secara terus mengikut senioriti atau kekananan serta kompetensi tugas melalui penilaian kemahiran pengurusan dan pentadbiran yang diamalkan masa kini adalah tidak begitu jelas kesesuaiannya dalam menentukan keberkesanan dan kecemerlangan sekolah. Banyak kajian menunjukkan bahawa, selain daripada pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus, seorang pengetua seharusnya mempunyai kredibiliti dalam mengupayakan organisasinya. Kredibiliti bermaksud kualiti yang membolehkan seseorang pemimpin beroleh kepercayaan, kebergantungan serta keyakinan orang bawahan atau pengikutnya dan merupakan asas bagi pemimpin yang berkesan. Kualiti atau atribut utama bagi pemimpin yang kredibel adalah jujur, berpandangan ke hadapan, sumber inspirasi kepada individu dalam organisasi dan kompeten. Pemimpin yang kredibel bertindak dengan kualiti dan integriti. Melalui atribut-atribut seperti kejujuran, integriti, berpandangan ke hadapan, inspirasi dan kompeten, pemimpin yang kredibel ini berjaya memperoleh kepercayaan, sokongan dan kesepakatan bekerja daripada anggota organisasi, dengan itu dapat meningkatkan kesetiaandan komitmen daripada pekerja. Justeru itu pemilihan bakal-bakal pengetua yang akan menerajui kepimpinan sekolah agar ianya menjadi satu realiti dan bukan satu retorik.
Yunos Hj.Omar (NPQEL 2/2009)
Catat Ulasan