Ahad, 23 Mei 2010

Tokoh guru dedah rahsia jadi guru cemerlang

MELAKA 22 Mei - Tiga tokoh guru Melaka mendedahkan pendekatan untuk menjadi guru cemerlang iaitu memberi pengetahuan dan pendidikan kepada pelajar seperti mendidik anak sendiri.

Dolhaji Nekmat, 66; A. Kalimuthu, 70, dan Abd. Kader Md. Nor, 70, berpendapat sekiranya setiap guru mengamalkan sifat sedemikian, tidak timbul masalah tekanan atau beban kerja di kalangan warga pendidik.

"Saya menjadi guru demi mendidik anak bangsa dan berkhidmat untuk negara walaupun sudah lama meninggalkan profesion ini, saya masih boleh meluangkan masa memberi khidmat sebagai guru," kata Dolhaji

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Guru 2010 peringkat negeri Melaka 2010 di sini, hari ini.

Penganugerahan Tokoh Guru peringkat negeri 2010 itu membolehkan ketiga-tiga tokoh guru berkenaan menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta pingat dan sebuah plak setiap seorang.

Hadiah disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada majlis yang bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa - Terima Kasih Cikgu.

Pada majlis itu, empat guru dalam bidang masing-masing menerima anugerah Guru Inovatif 2010, manakala 10 yang lain menerima anugerah Pengarah 2010.

Pada masa yang sama, Dolhaji melahirkan kesyukuran kerana kerajaan masih mengiktiraf jasanya walaupun sudah lama bersara dari bidang perguruan.

Sepanjang kerjayanya, beliau banyak memberikan sumbangan ke arah pembangunan akademik dan pengurusan pendidikan termasuk terlibat dalam menghasilkan buku program Celik Huruf dan Kit Permainan Bahasa melalui bahan kitar semula.

Dolhaji yang mempunyai enam anak merupakan lulusan Maktab Perguruan Harian Melaka dan mula melibatkan diri dalam tugas perguruan pada 1968 sebagai guru Bahasa Melayu di SRJK (Tamil) Ladang Kuala Reman, Kuantan, Pahang.

Katanya, walaupun menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tugas pertama sebagai guru di SRJK Tamil di Kuantan, pengalaman tersebut telah menjadikan beliau guru cemerlang sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.

''Demi kasih kepada anak murid saya di sekolah itu, saya mengambil inisiatif mempelajari bahasa Tamil melalui murid saya dan rakan bagi memudahkan tugas mengajar pada waktu itu.

Selain itu, Kalimuthu yang turut terpilih sebagai Tokoh Guru Melaka berpendapat, tugas guru tidak berhenti apabila seorang guru itu bersara, sebaliknya tanggungjawab untuk mendidik perlu dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.

Malah, kata bapa kepada tiga anak itu, sejak menjadi guru pada 1967, beliau diberi peluang menjadi pengetua di tiga sekolah iaitu SM Tengku Ampuan Intan Kuala Terengganu, SM Masjid Tanah dan SM Gajah Berang.Seorang lagi Tokoh Guru 2010, Abd. Kader Md. Nor berkata, minat mendalam merupakan faktor utama beliau menceburi bidang pendidikan.

Abd. Kader yang berpengalaman selama 30 tahun sebagai guru menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terbaik dalam hidupnya.

Utusan Malaysia Online: 23 Mei 2010

Tiada ulasan: