Isnin, 10 Mei 2010

20 pelajar bergaduh hadapi tindakan tegas



2010/05/10

KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah di Sentul yang ‘bertempur’ ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat baru-baru ini, hingga menyebabkan lebih lima pelajar cedera.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar berkenaan mengikut cadangan yang dikemukakan jawatankuasa disiplin dan pengetua sekolah terbabit.


Beliau berkata, laporan awal mengenai kes itu menunjukkan ia sudah diselesaikan apabila pihak sekolah memanggil ibu bapa pelajar terbabit.


Namun pihaknya akan terus menyiasat kejadian itu bagi mengenal pasti jika ada pembabitan pihak luar dalam pergaduhan berkenaan.


“Kita bimbang jika pergaduhan di luar kawasan sekolah itu turut ada campur tangan orang luar dan jika ia berlaku, kita akan minta pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau merujuk kepada kejadian sekitar jam 1.40 tengah hari Jumaat lalu, apabila dua kumpulan pelajar berpakaian sekolah bergasak, bertumbuk dan menggunakan topi keledar untuk mencederakan satu sama lain. Bagaimanapun tindakan pantas 10 kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sentul yang kebetulan berada di lokasi, berjaya meleraikan pergaduhan terbabit. Sementara itu, Alimuddin berkata beliau juga menunggu laporan lengkap daripada pihak sekolah, hospital, guru serta keluarga seorang guru di Kuala Perlis, yang bertindak membunuh diri Jumaat lalu, dengan alasan dirinya tertekan akibat dipindahkan ke sekolah baru.


Beliau berkata, laporan lengkap itu penting bagi pihaknya untuk mengenal pasti punca sebenar yang mendorong guru terbabit mengambil tindakan drastik berkenaan.


“Jika hendak dikaitkan dengan tekanan, pertukaran sekolah adalah prosedur biasa dalam bidang perguruan dan mengikut laporan awal yang saya terima dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), guru itu sebenarnya ditukar kerana dinaikkan pangkat menjadi guru kanan.


“Berikutan kenaikan pangkat itu, dia dipindahkan dari sekolah lamanya ke sekolah baru yang jarak enam kilometer,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru dipercayai bertindak membunuh diri dengan terjun ke laut di pantai Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis kerana dikatakan tertekan dan tidak dapat menyesuaikan diri selepas ditukarkan ke sekolah baru.


Guru berkenaan, Zuki Ibrahim, 40, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, dekat Simpang Empat, ditukarkan dari sekolah lamanya SMK Padang Siding, dua bulan lalu.

myMetro: 10 Mei 2010

Tiada ulasan: