Sabtu, 8 Mei 2010

Kerjaya guru bak limau kasturi, lilin membakar diri

Oleh Abdul Razak Hussin

2010/05/08

Nukilan pengorbanan beberapa pengajar serlah kemuliaan sebagai pendidik

MENJELANG Hari Guru 16 Mei yang disambut bukan saja kelompok itu malah kalangan yang menghargai peranan dan sumbangan guru, terungkap pelbagai cerita mengenai pengorbanan, jerih payah, suka dan duka mereka.

Tempoh dua tahun di Pusat Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) awal 2000, cukup mengajar penulis mengenal dan menghargai jasa guru membentuk modal insan untuk pembangunan negara. Kita sering mendengar guru yang bertugas di pedalaman, mengorbankan kehidupan meriah di kota atau tempat asal yang lebih membangun.

Mereka berbicara mengenai kepentingan pendidikan yang akan mengubah nasib dan masa depan. Mereka memperkatakan mengenai kegelapan hidup tanpa cahaya yang disandarkan kepada pendidikan. Justeru, guru yang ditemui membuktikan falsafah pendidikan sepanjang hayat yang didukung, dengan melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama dan seterusnya menerusi pelbagai mod.

Meskipun menghadapi kesukaran, mereka tempuh juga untuk mempertingkatkan ilmu dan keupayaan sebagai guru cemerlang yang dimanfaatkan kembali dalam pengajaran mereka. Johnny, guru di sebuah sekolah di Pitas Sabah. Beliau adalah lambang seorang guru dalam pengertian sebenar.

Beliau belajar menerusi program PJJ UKM mulai 1998 untuk menjadi guru yang lebih baik bagi digarap ilmunya dalam pengajaran di sekolah. Setiap Sabtu dan Ahad, Johnny menghadiri kuliah di Kota Kinabalu. Selepas selesai mengajar pada Jumaat, beliau berjalan kaki merentasi jalan tanah merah ke jalan raya yang mengambil masa tiga jam.

Kalau bernasib baik, dapat menumpang lori balak yang membawanya ke jalan raya untuk beliau mendapatkan kenderaan ke pekan terdekat seterusnya menaiki bas ke Kota Kinabalu. Beliau tiba pada sebelah malam dan bermalam di mana saja yang berkesempatan. Pada petang Ahad selepas selesai kuliah, beliau pulang ke rumah tumpangan di Pitas. Begitulah rutin sepanjang pengajian sehingga memperoleh ijazah sarjana mudanya.
Dengan sengaja, Aris (sahabat sejak bersekolah di Johor Bahru) memohon penempatan mengajar di pedalaman Sarawak selepas selesai pengajian di Maktab Perguruan Raja Melewar pada awal 1980-an. Beliau berada di sana selama tiga tahun untuk mengenal realiti dunia pendidikan dan pada masa sama mengikuti PJJ UKM.

Pengalaman bertugas di Sarawak dan di Semenanjung benar-benar menginsafkan beliau mengenai cabaran dunia pendidikan. Keterbelakangan infrastruktur dan tahap kesedaran masyarakat, mencabar profesionalisme. Beliau meneruskan penerokaan sehingga memperoleh ijazah sarjana pendidikan dari UKM seterusnya melanjutkan lagi pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM) dan memperoleh doktor falsafah.

Sepanjang tempoh pengajiannya, penulis mengetahui bagaimana sukar beliau menyusun hidupnya. Kini, sebagai seorang pensyarah di institut pendidikan, beliau boleh berteori dengan penuh yakin berasaskan pengalaman yang dilalui sepanjang kerjayanya sebagai seorang guru.

Abang Sapali, Ali dan Henry adalah tiga guru sekawan yang belajar menerusi PJJ UKM. Mereka merumuskan cabaran bagi guru yang belajar dan bekerja pada masa sama, amat besar. Bagi mereka, itu adalah pengorbanan. Bukan saja memerlukan keupayaan membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai guru, juga sebagai suami, ayah dan anggota masyarakat.

Bukan saja wang ringgit yang harus dirancang bagi memastikan keperluan keluarga dipenuhi malah perasaan sendiri dan kefahaman anggota keluarga terhadap perubahan pola kehidupan yang sedang dihadapi.

Penulis juga mendapati, ramai pelajar sekarang terpaksa membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk menampung kos pembelajaran.

Kerjaya sebagai guru sememangnya cita-cita Rozi sejak sekolah menengah lagi. Sebagai anak kota, beliau menginsafi kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia yang akan melengkapkan anak Malaysia dalam menghadapi cabaran masa depan.

Dalam tempoh 25 tahun sebagai guru di bandar, pelbagai kerenah pelajar, ibu bapa dan masyarakat yang ditemui. Apabila kita mengimbau pengorbanan guru, sering kali kita digambarkan mengenai kesukaran dihadapi guru yang bertugas di pedalaman.

Namun dalam konteks hari ini, cabaran dihadapi guru di bandar lebih getir. Dengan pelbagai pengaruh dihadapi pelajar, tahap sosio-ekonomi dan pendidikan ibu bapa yang lebih tinggi, kesedaran terhadap hak dan undang-undang serta jangkaan tinggi terhadap piawaian pendidikan menjadikan guru lebih tertekan.

Seperti dihadapi Rozi, siapakah yang paling cepat mengerti kesukaran dihadapi Kamaruldin, anak muridnya yang kematian ibu bapa dan terpaksa mengurus diri sendiri sehingga menjejas pencapaian pelajarannya? Siapakah yang dapat mengubati kemurungan seorang lagi muridnya yang baru kematian ibu dan kakaknya, kalau tidak beliau, seorang guru yang profesional dan sangat prihatin?

Seperti guru lain, selepas menempuh pelbagai cabaran multi peranan, beliau berjaya memperoleh ijazah dari Universiti Terbuka Malaysia.

Catatan ini adalah sekelumit saja daripada hikayat guru berbanding nukilan yang boleh dilakarkan seluas alam. Setiap kejayaan, pastinya bermula daripada seorang guru. Guru sepanjang zaman adalah kerjaya mulia yang memerlukan seluruh minat, iltizam dan kesungguhan penjawatnya.

Banyak sekali harapan dan program negara yang terpikul di bahu mereka.
Justeru, penulis percaya, kerjaya ini sentiasa disemarakkan dengan pelbagai insentif dan peningkatan oleh pemerintah bagi menghargai kepentingannya.

Kalau di negara lebih maju, kerjaya guru masih sangat disanjung masyarakat, tentunya di Malaysia sanjungan itu masih tetap utuh. Dua pelajar yang duduk di kiri dan kanan penulis dalam Majlis Makan Malam Regimental Palapes baru-baru ini, ketika melihat lilin yang terbakar menghiasi meja, mengibaratkan golongan seperti guru bagaikan lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.

Lantas mereka mencadangkan guru seharusnya menjadi persis limau kasturi yang bukan saja harum mewangi malah selepas memanfaatkan orang lain pun keharuman sendiri masih tidak hilang dan dapat dinikmati.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM

Berita Harian Online: 8 Mei 2010

1 ulasan:

Jawatan Kosong berkata...

Apa JawatanKosongKerjaKosong.com tawarkan?

Terlalu banyak websites menyebarkan jawatan kosong, kerja kosong, jawatan kerajaan. Tetapi kebanyakkannya sudah lapuk dan tidak terkini. Ataupun anda terlambat untuk melihat iklan tersebut dan terlepas peluang.

Jangan sia siakan potensi diri anda untuk mendapatkan pekerjaan terbaik. Daftarkan diri anda dengan JawatanKosongKerjaKosong.com. Kami akan menghantar iklan kekosongan pekerjaan dengan segera kepada anda. Update secepat mungkin kepada anda.


Daftar Sekarang