|
|
NIBONG TEBAL 21 Mei - Pelbagai cara dilakukan oleh murid-murid sekolah bagi menghargai jasa guru masing-masing sempena sambutan Hari Guru.
Bagi 1,225 orang murid Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara di sini, mereka merentang kain sepanjang 50 meter yang dipenuhi cop tangan masing-masing sebagai ikrar untuk menjadi pelajar terbaik.
Guru besar sekolah berkenaan, Hudzairi Abd. Ghani berkata, idea untuk mengadakan aktiviti itu datangnya dari beberapa orang guru yang mengajar di situ.
Jelasnya, ia berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu hasil komitmen para guru dan murid yang begitu bersungguh-sungguh menjayakannya.
"Saya percaya ia merupakan kali pertama kain rentang terpanjang seumpama ini dibuat di Pulau Pinang sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini.
"Aktiviti ini adalah selaras dengan sasaran kami untuk menjadikan sekolah ini tersenarai dalam 10 buah sekolah terbaik di Pulau Pinang menjelang 2014," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini hari ini.
Sebelum majlis bermula, upacara memotong kek diadakan diikuti membaca ikrar yang diketuai seorang guru, Salindar Singh.
Penyelaras program Hari Guru sekolah itu, Mohd. Nor Suhaili Jamali pula memberitahu, pada kain rentang itu juga mengandungi pelbagai slogan berupa tulisan tangan pelajar sendiri.
"Tulisan tangan pada kain rentang ini begitu bermakna sekali, ia melambangkan kasih sayang pelajar kepada guru kelas masing-masing," katanya.Utusan Malaysia Online: 22 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan