2010/05/22
MERUJUK kepada tulisan Datuk Rejal Arbee, Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam akhbar ini 29 April lalu bertajuk ‘Hukuman melampau bukan cara mendidik’. Penulis melahirkan kebimbangan mengenai ada guru disiplin yang mengambil tindakan melampau menghukum pelajar bermasalah.Beliau juga mempersoalkan proses pemilihan guru disiplin yang tidak tepat dan ada guru tidak sesuai dengan profesion keguruan juga terpilih untuk menjadi guru. Kementerian Pelajaran mengambil serius permasalahan yang diketengahkan penulis..
Bagaimanapun, kes yang dirujuk adalah terpencil dan tidak memberikan gambaran sebenar sikap guru secara keseluruhan. Namun, kementerian sentiasa memastikan setiap guru disiplin dilantik pihak sekolah mematuhi garis panduan dan peraturan bagi menangani permasalahan disiplin murid..
Setiap tindakan guru disiplin perlu mengikut garis panduan dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Antara garis panduan perlu dipatuhi guru disiplin di sekolah adalah Panduan Tatacara Disiplin Sekolah untuk Guru Besar dan Guru serta Tatasusila Profesion Perguruan Malaysia.
Guru disiplin juga dilarang mengambil tindakan atau hukuman tidak sesuai seperti penyeksaan, cacian, memalukan atau lain-lain hukuman dikategorikan sebagai melampau berdasarkan kepada SPI Bil. 8/1983 Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan Pelajaran.
Dalam hal ini, guru besar dan pengetua berperanan untuk menasihat, membimbing dan menjelaskan mengenai semua peraturan disiplin sekolah kepada guru bagi mengelak tindakan tidak wajar diambil oleh guru.
Kementerian juga melaksanakan pelbagai langkah bagi membendung guru disiplin daripada mengambil tindakan menyalahi peraturan dan garis panduan sedia ada dalam menangani disiplin murid.
Antara langkah dilaksanakan kementerian iaitu, melaksanakan kursus literasi undang-undang kepada guru disiplin seluruh negara; kursus pengurusan emosi kepada guru disiplin yang sudah lama menjalankan tugas sebagai guru disiplin dan kursus kemahiran menyiasat aduan kepada pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah seluruh negara.
Pemilihan dan pelantikan guru disiplin sekolah perlu diluluskan dalam mesyuarat pengurusan sekolah dan dimaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Guru yang dicalonkan sebagai guru disiplin dilihat daripada segi latar belakang, personaliti dan pengalaman bertugas.
Pihak sekolah akan melantik guru paling sesuai di kalangan guru sedia ada di sekolah sebagai guru disiplin.
Guru disiplin sentiasa didedahkan dengan pengetahuan dan makluman berkaitan pengurusan disiplin murid oleh PPD dan JPN dari semasa ke semasa supaya guru disiplin akur dengan setiap SPI dan garis panduan sedia ada dalam menjalankan tugas mereka.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran, Putrajaya
Berita Harian Online: 22 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan