Rabu, 12 Mei 2010

360 guru UK diambil ajar Bahasa Inggeris

2010/05/12

SIBU: Seramai 360 guru yang juga penutur jati bahasa Inggeris dari United Kingdom akan didatangkan ke Malaysia bulan depan untuk melatih guru Bahasa Inggeris di negara ini sebagai persediaan ke arah pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata guru terbabit akan menjadi guru pakar yang memberi latihan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan termasuk melalui pendekatan seni bahasa serta pembelajaran yang lebih interaktif.

"Semua guru ini adalah guru terlatih dalam Bahasa Inggeris yang akan dikhususkan untuk mengajar guru opsyen mata pelajaran terbabit.

"Dengan ada pendekatan ini termasuk menambah masa mengajar yang menjadi sebahagian daripada transformasi kurikulum bahasa Inggeris, kita akan pastikan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kita tetapkan," katanya selepas sesi dialog bersama wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang di sini, semalam.

Beliau berkata, kementerian juga kini dalam usaha melaksanakan penempatan semula guru Bahasa Inggeris bagi menampung keperluan guru itu di kawasan luar bandar.

"Kita nak pastikan, setiap sekolah dapat guru opsyen kerana kita tidak mahu lagi guru yang tidak layak mengajar mata pelajaran berkenaan seperti yang berlaku di kawasan pedalaman, sekali gus mengelak lambakan guru Bahasa Inggeris di kawasan bandar," katanya.

Katanya, kerajaan komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini dan ia terbukti melalui peruntukan terbesar dalam Bajet 2010 yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran," katanya.

Berita Harian Online: 12 Mei 2010

Tiada ulasan: