2010/05/17
ORANG paling gembira semalam ialah pendidik di seluruh negara apabila kerajaan mengumumkan ganjaran kewangan dalam usaha melonjakkan prestasi sekolah dan ia hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Guru, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran. Misalnya, pengetua dan guru besar yang mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) akan menerima ganjaran kewangan RM7,500, lima peratus guru terbaik sekolah berkenaan pula, iaitu berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan mereka, akan menerima RM1,800 dan guru selebihnya lagi akan menerima RM900.Ganjaran kewangan itu, seperti kata Muhyiddin tidak terbatas sekali saja untuk setiap sekolah, malah jika sesuatu sekolah terbabit meneruskan usaha tahun berikutnya, ia akan dapat lagi ganjaran. Kita yakin langkah itu bukan saja melonjakkan prestasi sekolah, malah membantu mendidik pelajar dengan lebih cemerlang lagi, sekali gus membantu ke arah membentuk kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Pencapaian setiap sekolah akan dinilai selepas keputusan peperiksaan, sebelum ganjaran itu diberikan kepada mereka yang layak. Beberapa inisiatif lain kepada pendidik turut diumumkan.
Mereka harus faham bahawa kerajaan perlu melihat juga kepada kebajikan kerjaya lain dalam sektor awam dan kita akui tugas pendidik amat penting. Cuma apa yang kita bimbang ialah pelaksanaan proses prestasi sekolah itu nanti, terutama berkaitan KPI yang membabitkan prestasi guru. Untuk prestasi sekolah rasanya bukan sukar kerana ia digambarkan melalui keputusan peperiksaan umum yang boleh diukur. Ini bermakna, pengetua dan guru besar perlu adil apabila membuat penilaian KPI untuk guru di bawah tanggungjawab mereka supaya tiada salah guna kuasa atau pilih kasih.
Apa pun, insentif diumum Muhyiddin itu diharap sebagai penyuntik semangat untuk guru supaya bertugas dengan lebih dedikasi demi bangsa, agama dan negara. Kita juga berharap kesatuan guru mengadakan perbincangan terus dengan kementerian jika ada perkara berbangkit untuk diselesai secara saksama dan di belakang tabir tanpa perlu hebahkan kepada umum, seperti kelaziman dilakukan kesatuan lain sebelum ini.
Berita Harian Online: 17 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan