Isnin, 10 Mei 2010

Taraf pendidikan sekolah teknik, vokasional terus diperkasa

2010/05/10

MERUJUK pandangan pensyarah Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina UTM, Skudai, Prof Madya Zakaria Mohd Yusof dalam Berita Harian 12 April lalu, 'Latihan Vokasional, Teknikal Memerlukan Perancangan Awal'.

Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) merangka beberapa strategi untuk memperkasakan pendidikan itu bagi pelajar di Tingkatan Empat dan Lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV).

Kementerian Pelajaran melalui BPTV sudah membina SMT dan SMV bagi menampung keperluan semasa, menjurus kepada penerokaan minat pelajar dalam bidang kemahiran, vokasional dan teknikal.

Kini, 88 SMT/SMV di seluruh negara yang boleh menampung 67,000 pelajar. Infrastruktur dibina itu juga dilengkapi bengkel dan peralatan khusus untuk semua bidang yang ditawarkan.

Kemudahan itu memberi peluang kepada pelajar mengasah kecenderungan, membina kemahiran dan kerjaya. Sebanyak 19 kursus ditawarkan di 26 SMV seluruh negara. Kurikulum bagi 19 kursus kemahiran ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam Kementerian Sumber Manusia.

Selain menduduki SPM, pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1.

Pelajar turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi latihan kemahiran yang menawarkan tahap kelulusan lebih tinggi iaitu Tahap 2, 3 dan 4 bagi memastikan prospek kerjaya mereka menjadi lebih mantap.
BPTV juga menyediakan panduan maklumat lengkap berkaitan kursus latihan kemahiran ditawarkan di semua agensi latihan berkaitan. Maklumat itu membantu pelajar memahami hala tuju kerjaya dengan lebih jelas bermula daripada Tahap 1 di Tingkatan 4 di SMV dan seterusnya kemahiran yang lebih tinggi di agensi serta institusi latihan lain.

Melalui maklumat terperinci, minat pelajar meneruskan latihan kemahiran ke peringkat lebih tinggi dan memilih aliran kemahiran sebagai kerjaya akan bertambah. Ia juga membantu guru serta guru kerjaya menjelaskan kepada pelajar berkaitan laluan dan prospek kerjaya mereka pada masa depan dalam bidang kemahiran.

BPTV juga bekerjasama dengan institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Majlis IT Kebangsaan (NITC), Malaysia Timber Council (MTC) dan beberapa agensi latihan kemahiran lain.

BPTV juga menawarkan kursus aliran vokasional di SMV bagi pelajar yang mempunyai pencapaian baik dan sederhana. Konsep hands-on itu diselaraskan dengan keperluan pendidikan teras.

Pelajar Tingkatan 4 di SMV/SMT akan didedahkan dengan ilmu praktikal dan teori kursus vokasional.

Pelajar akan menjadi aset kepada industri kerana ilmu yang diperoleh bukan sekadar teori tetapi juga praktikal. Kini, 18 kursus aliran vokasional ditawarkan di 70 SMV seluruh negara dengan 22 kursus MPV (Mata Pelajaran Vokasional) pula ditawarkan di Sekolah Menengah Harian terpilih.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 10 Mei 2010

Tiada ulasan: