Khamis, 20 Mei 2010

Pelajar, mahasiswa rai Hari Guru




PENGAWAS bersama mahasiswa UUM dan Pengetua SMK Tanjung Pauh selepas mengikuti bengkel persediaan sambutan Hari Guru sekolah itu di Jitra, Kedah baru-baru ini.

SAMBUTAN Hari Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh pada kali ini istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengetuanya, Johari Awang berkata, sambutan kali ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar yang mendapat bimbingan daripada mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut beliau, seramai lapan mahasiswa dari Kolej CAS UUM mengadakan bengkel persediaan untuk mengurus dan mengendalikan hari bersejarah itu.


FASILITATOR dari UUM membincangkan perancangan untuk sambutan Hari Guru dengan peserta bengkel.

“Saya melihat peranan PIBG dan badan pengawas sekolah dengan bantuan daripada mahasiswa UUM untuk menjayakan hari guru adalah sesuatu yang amat terpuji," katanya.

Bengkel disertai 95 pengawas sekolah yang membincangkan aktiviti acara perasmian, penyampaian cenderamata, persembahan kebudayaan, sukaneka dan jamuan makan.

Ketua projek tersebut, Prabanandan Ramachandran berkata, dia dan rakan-rakan berbangga kerana diberi peluang membimbing pengawas-pengawas sekolah di Jitra, Kedah itu.

“Kami turut berasa teruja kerana dijemput untuk menjadi pengantara bagi pihak sekolah untuk menjayakan hari guru ini,” katanya.

Rakannya, pelajar Sarjana Muda Pendidikan, Mohammad Firros Rasol Ghani memberitahu, pembabitan dalam aktiviti seperti itu amat baik kerana ia memberikan pengalaman berguna sebagai bakal pendidik yang pasti akan terbabit dengan aktiviti seperti itu apabila bekerja kelak.

Manakala Shazreen Abdul Rashid pula berkata, semangat daripada rakan-rakan dan kesungguhan pihak pengawas sekolah tersebut membantu mereka mencapai objektif seperti yang dihasratkan.

"Aktiviti sebegini merupakan pengalaman dan pengetahuan yang amat bernilai dan tidak boleh diperoleh di dewan kuliah," tuturnya.

Portal Pendidikan Utusan: 20 Mei 2010

Tiada ulasan: