Isnin, 17 Mei 2010

Ganjaran berdasar prestasi - TPM

KUANTAN 16 Mei - Berita baik kepada semua pengetua, guru besar dan guru.

Bermula tahun depan, mereka layak menerima wang ganjaran sehingga RM7,500 setiap seorang jika berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Wang ganjaran itu akan dibayar berdasarkan prestasi sekolah masing-masing yang dinilai pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang, Gambang dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan kenaikan pangkat seramai 15,320 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan 9,969 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Bukan Siswazah (PPPLD) bermula April lalu.

Muhyiddin berkata, wang ganjaran tersebut merupakan 'tawaran baru' kepada golongan pendidik supaya mengutamakan pencapaian dan keberhasilan sekolah masing-masing.

Menerusi tawaran itu, jelas beliau, pengetua dan guru besar yang berjaya mencapai sasaran KPI bagi sekolah masing-masing bakal menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500 seorang.

''Guru-guru di sekolah sama yang berada dalam kumpulan lima peratus ke atas pula akan menerima wang ganjaran sebanyak RM1,800 seorang dan 95 peratus guru berikutnya akan mendapat ganjaran RM900 seorang.

''Ganjaran ini akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah," katanya.

Hadir sama pada majlis sambutan itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin memberitahu, semua pengetua, guru besar dan guru mungkin menerima wang ganjaran tersebut setiap tahun jika mampu meletakkan sekolah masing-masing melepasi Skor Komposit yang ditetapkan.

''Wang ganjaran itu bukan dibayar sekali sebaliknya mungkin berkali-kali berdasarkan rekod pencapaian sekolah terbabit," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kenaikan pangkat bagi 25,289 PPPS dan PPPLD meliputi tiga kategori iaitu mengikut tempoh (time based) selama 10 tahun, guru cemerlang dan kenaikan secara hakiki bagi gred DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

''Kenaikan ini merangkumi pegawai yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, pensyarah institut pendidikan guru dan guru.

''Selain itu, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48 dan DG52 bagi PPPS," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga, ujar Muhyiddin, bersetuju supaya urusan kenaikan pangkat secara mengikut tempoh gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPS) dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan kualiti guru, katanya, PPS yang memperoleh ijazah doktor falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan bermula tahun ini.

Dalam ucapannya juga, Muhyiddin memberitahu, pihaknya telah mengarahkan satu sistem pemantauan penempatan yang lebih cekap dan adil diwujudkan bagi mengatasi masalah guru yang bertugas di pedalaman.

Tegasnya, maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di pedalaman perlu dikemas kini secara atas talian bagi memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan itu diberi peluang bertugas di bandar pula.

''Dengan sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru yang ditempatkan di luar bandar tidak disisihkan atau diabaikan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2010

1 ulasan:

cikgupj berkata...

Maka bermulalah satu perlumbaan yang baru!...akan ada yang menang dan yang kalah dan dah tentu ada yang terhimpit dan terbabas...