KOTA KINABALU 11 Mei - Kementerian Pelajaran mengenal pasti 10 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang akan dijadikan sebagai pusat pengkhususan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, kesemua IPGM itu amat berpotensi untuk dimartabatkan sebagai pusat pengkhususan bahasa.
"Kementerian mempunyai perancangan untuk memartabatkan lima IPGM sebagai pusat bahasa Malaysia iaitu IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur; IPGM Kampus Tuanku Ampuan Afzan, Pahang; IPGM Kampus Tun Razak, Sarawak; IPGM Kampus Ipoh, Perak dan IPGM Kampus Kent, Sabah.
"Lima IPGM lagi iaitu Kampus Datuk Razali Ismail, Terengganu; IPGM Kampus Batu Lintang, Sarawak; IPGM Kampus Gaya, Sabah, IPGM Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur dan English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur sebagai pusat bahasa Inggeris," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja sempena Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu di Institusi Pendidikan 2010 di dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Teks beliau dibacakan oleh Ketua Unit Penilaian Program Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pelajaran, Dr. Latip Mohamad.
Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon; Pengarah Pelajaran Sabah, Muhiddin Yusin; Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr. Julaihi Bujang; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, Zubaidi Abas dan Dekan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Abdullah.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi memartabatkan IPGM sebagai pusat pengkhususan bahasa di negeri ini.
Selain itu katanya, ia juga sebahagian daripada strategi pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dijelmakan melalui transformasi kurikulum dan peningkatan kapasiti guru.
Sementara itu katanya, MBMMBI akan dilaksanakan mulai tahun depan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara.
Alimuddin memberitahu, ia bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan peralihan dasar tersebut.
"Pada 8 Julai 2009, MBMMBI telah dipersetujui oleh Kabinet bagi menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Pelaksanaan dasar MBMMBI akan bermula dengan pelajar tahun satu pada 2011 manakala tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pada 2012," katanya.
Tambahnya, bagi memudahkan penyesuaian terhadap dasar tersebut juga, pihak sekolah turut dibenarkan menggunakan dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.
Utusan Malaysia Online: 12 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan