zainuddin@hmetro.com.my
2010/05/22
ALOR SETAR: Hanya kerana berebut buku dengan rakan sekelas, seorang murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di Mergong di sini mendakwa menerima ‘penampar Jepun’ daripada guru muziknya sehingga tulang hidungnya retak dan berdarah, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, hidung Muhammad Naim Sofwan Rosly mengalami pendarahan sehingga Rabu, selain mukanya turut bengkak terutama di kening kirinya.
Mangsa yang berusia sembilan tahun juga mendakwa pernafasannya tersekat akibat tamparan kuat itu.
Ketika ditemui selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Muhammad Naim Sofwan atau nama manjanya ‘Boboy’ berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu.
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengaku berebut buku dengan seorang rakannya yang sepatutnya dihantar kepada guru berkenaan yang naik minyak lalu menamparnya dua kali.
Berikutan sakit dan pening, Muhammad Naim yang mendakwa sakit serta pening, diberi amaran oleh guru berkenaan supaya tidak memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu dan setibanya di rumah, dia terus tidur sehingga petang.
Sementara itu, datuk mangsa, Ismail Din, 55, berkata, dia mendapati Boboy masih tidur apabila dia sampai dari Kelantan kira-kira jam 7.30 malam di Rumah Pangsa Seberang Terus di sini.
Katanya, ketika mengejutkan cucunya itu, dia ternampak tompokan darah pada baju sekolah cucunya dan selepas dipujuk, Boboy memberitahu apa yang berlaku.
“Ketika itu abang sulungnya yang berada di tahun enam sekolah sama, Mohd Naim Sofwan, memberitahu dia dipanggil guru berkenaan ke kelas adiknya ketika Boboy ke tandas untuk mencuci darah.
“Guru lelaki berkenaan memberitahu Naim bahawa adiknya buas dan meminta kejadian yang berlaku itu tidak diceritakan kepada sesiapa,” katanya.
Menurutnya, berikutan tidak puas hati, dia membawa Boboy ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam kelmarin untuk membuat laporan sebelum dirujuk ke HSB pada malam sama.
Sementara itu, Ismail berjumpa dengan guru besar sekolah cucunya yang kemudian segera melawat Boboy di rumah, pagi kelmarin.
“Guru Besar memaklumkan dia tidak tahu mengenai kejadian itu dan berjanji untuk menyiasat,” katanya.
Menurutnya, Boboy sekali lagi dihantar ke HSB kelmarin, selepas hidungnya berdarah dan ujian sinar X menunjukkan berlaku keretakan.
Sementara itu, jurucakap IPD Kota Setar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan pegawai penyiasat akan mengambil keterangan pihak terbabit Ahad ini.
Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung kejadian membabitkan murid sebuah sekolah kebangsaan di Mergong itu.
myMetro: 22 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan