Khamis, 27 Mei 2010

Kementerian jamin SMK Garing berkeadaan baik dan terkawal

PUTRAJAYA 26 Mei - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom meminta ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing, Rawang tidak bimbang kerana proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu berjalan seperti biasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mengejutnya bersama beberapa pegawai kementerian hari ini mendapati sekolah itu berada dalam keadaan baik dan terkawal.

''Proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa dan tidak mengalami sebarang masalah walaupun pihak sekolah mengakui memang terdapat beberapa kes disiplin dilaporkan.

''Namun ia berjaya diselesaikan secara baik di peringkat sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa pelajar terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan wujud ketakutan di kalangan pelajar sekolah itu ekoran tindakan segelintir pelajar lelaki yang bertindak menumbuk secara membabi buta pelajar lain dan meminta wang perlindungan.

Alimuddin berkata, tembok sekeliling sekolah yang diconteng juga sedang dalam proses dicat semula.

''Pihak sekolah mengakui lokasi sekolah yang terletak bersebelahan kawasan perkuburan dan perumahan menjadikannya mudah diakses oleh penduduk sekitar," katanya.

Sehubungan itu beliau mengarahkan pihak pengurusan sekolah mengadakan mesyuarat permuafakatan dengan PIBG bagi menangani masalah yang timbul.

''Mesyuarat itu perlu bagi memberi penjelasan kepada ibu bapa dan masyarakat setempat mengenai isu-isu berbangkit dan berusaha menanganinya bersama-sama," katanya.

Utusan Malaysia Online: 27 Mei 2010

Tiada ulasan: