2010/05/10
MERUJUK tulisan 'Insan Prihatin Klang, Selangor' yang disiarkan ruangan ini berkaitan peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Tulisan saya sebelum ini bukan menidakkan peranan dan jasa guru kaunseling di sekolah, apatah lagi penggunaan istilah 'kaunselor' jika digunakan dalam konteks sekolah jelas merujuk guru kaunseling.Bukan menjadi persoalan sama ada guru berkenaan mempunyai lesen akuan amalan diiktiraf atau tidak kerana guru kaunseling di sekolah adalah jawatan diiktiraf Kementerian Pelajaran dan guru berkenaan memiliki cukup latihan serta keupayaan.
Tujuan saya hanya ingin menyedarkan pihak ketiga yang selalu menyalahkan guru disiplin agar dapat membezakan antara tugas guru kaunseling dengan guru disiplin. Guru disiplin terikat dengan urusan mengajar di samping menguruskan disiplin pelajar serta melakukan tugas kurikulum dan kokurikulum termasuk bekerjasama dalam aktiviti kaunseling pelajar.
Banyak kekangan dihadapi guru disiplin dan ini perlu diberi perhatian pihak berkaitan kerana cadangan mewujudkan jawatan khas guru penolong kanan disiplin masih kabur, begitu juga kajian bebanan tugas guru.
Apa yang ingin dibangkitkan Insan Prihatin ialah persepsi guru dan pentadbiran sekolah terhadap guru kaunseling dan kurang kerjasama pentadbir serta guru lain. Dalam hal ini, saya melihatnya sebagai masalah pengurusan di sekolah tertentu saja dan penyelesaiannya adalah melalui mesyuarat pengurusan dan guru kaunseling seorang daripada jawatankuasa tetap.
Oleh itu, gunakan kesempatan ini, kerana guru lain akur perintah keputusan mesyuarat berkenaan khususnya untuk membenarkan pelajar berjumpa guru kaunseling ketika sesi pembelajaran atau tidak.
Namun, pihak sekolah mungkin masih terikat dengan pekeliling kementerian dalam membuat keputusan. Jika ada pekeliling melarang perkara itu, maka wajarlah kementerian melakukan sesuatu.
Apa yang saya ingin bangkitkan dalam tulisan sebelum ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap guru disiplin. Saranan saya antara lain wujudkan segera jawatan guru penolong kanan disiplin.
Guru yang dilantik mesti mendapat latihan khusus dalam aspek perundangan dan kaunseling, penasihat undang-undang dilantik bagi setiap sekolah (peguam) untuk membantu sekolah bagi memastikan setiap tindakan dan hukuman disiplin dilaksanakan mengikut prosedur serta menyelesaikan isu saman terhadap sekolah dan guru.
Saya juga menyarankan diwujud komuniti rakan disiplin membabitkan ibu bapa dan masyarakat termasuk badan bukan kerajaan bagi membantu melaporkan dan bekerjasama menyelesaikan masalah pelajar kerana kes jenayah membabitkan pelajar bukan hanya berlaku di sekolah bahkan paling banyak di luar sekolah selain di rumah sendiri.
SHAHRULIMAN
Berita Harian Online: 10 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan