MELAKA 17 Mei – Seorang guru wanita tidak sempat meraikan sambutan Hari Guru hari ini apabila dia meninggal dunia dipercayai akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1) di Hospital Melaka awal hari ini.
Suaminya, Zulkefli Johar, 50, berkata, dia tidak menyangka, pemergian isterinya, Siti Khadijah Mat, 50, berlaku ketika semua guru di seluruh negara meraikan hari bersejarah itu.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap kehilangan arwah di hari bermakna ini sebagai ujian Allah,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka di sini hari ini.
Tambahnya, arwah yang bertugas sebagai guru penyelaras Kelas Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Cheng di sini sejak lebih lima tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir di sisinya pada pukul 5.15 pagi.
Zulkefli yang juga koordinator sukan di Kolej Yayasan Saad berkata, isterinya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini akhir April lalu selepas mengadu sakit kepala.
“Namun sampel darah yang diambil selama dua minggu menunjukkan ia bukan demam denggi dan memaksa doktor menghantar sampel darah itu ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, empat hari selepas itu, isterinya disahkan positif H1N1 berdasarkan keputusan sampel darah.
Sementara itu, rakan guru sekolah arwah, G. Kumaran, 44, berkata, semua aktiviti sempena sambutan Hari Guru yang sepatutnya diadakan di sekolah tersebut pagi ini telah dibatalkan.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kematian Siti Khadijah namun enggan mengulas lanjut.Utusan Malaysia Online:18 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan