Rabu, 19 Mei 2010

Guru disyaki edar dadah kepada pelajar dipindah

KUCHING 18 Mei - Guru lelaki yang ditahan polis kerana disyaki mengedar pil khayal kepada pelajar sebuah sekolah di Betong baru-baru ini, telah diarah melakukan tugas pejabat buat sementara di Pejabat Pelajaran Daerah Betong.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, guru terbabit menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Selain itu katanya, guru berkenaan juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya sementara menunggu hasil siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

''Jika didapati bersalah, guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 pindaan 2002," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Abdul Wahab Wan Sanusi (BN-Sadong Jaya) pada hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-16 di sini hari ini.

Fatimah memberitahu, 11 pelajar sebuah sekolah menengah dalam Bahagian Betong iaitu dua lelaki dan sembilan perempuan turut dikenal pasti terbabit dalam kes penyalahgunaan pil khayal.

Namun katanya, pelajar terbabit tidak menerima bekalan daripada guru tersebut sebaliknya mendapatkan pil khayal daripada individu di luar sekolah.

''Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Pelajaran negeri, tiada pelajar mendapat bekalan daripada guru berkenaan seperti yang dilaporkan akhbar.

''Malah kumpulan pelajar yang didapati mengambil pil khayal itu juga sudah dikenakan tindakan gantung sekolah mulai 19 April hingga 30 April 2010. Ibu bapa mereka juga sudah dipanggil untuk diberi penjelasan berhubung masalah disiplin yang dilakukan anak mereka," jelas beliau.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Abdul Karim Rahman Hamzah (BN-Asajaya) berhubung masalah disiplin guru yang melakukan perbuatan sumbang dengan murid di Siburan dan Lubok Antu, Fatimah berkata, dua guru dan seorang Pembantu Am Rendah di Siburan sudah dikenakan tindakan tatatertib.

Katanya, tindakan tatatertib itu diambil mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib 1993 pindaan 2002.

''Bagi kes mencabul pelajar sekolah di Lubok Antu pula, Timbalan Pendakwa Raya Sarawak sudah bersetuju untuk menuduh guru berkenaan di mahkamah tetapi kerana kes itu membabitkan penjawat awam, ia dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi arahan selanjutnya.

''Ketika ini guru berkenaan digantung tugas mengikut Peraturan 44 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 pindaan 2002," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Mei 2010

Tiada ulasan: