MELAKA 17 Mei - Kira-kira 20 tahun dulu, Teo Kok Koon (gambar) merupakan seorang guru yang aktif dan cergas dalam melaksanakan kewajipannya sebagai pendidik di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Sungai Udang di sini.
Komitmen beliau yang tinggi terhadap kerjayanya sebaik sahaja memegang jawatan tersebut ketika berusia 18 tahun, juga menyebabkan sehingga kini Kok Koon, 53, masih belum berumah tangga.
Namun sejak Oktober lalu, Kok Koon tidak lagi dapat meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sebagai guru setelah kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis yang dihidapi ketika berusia 30 tahun.
Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa berehat daripada tugas mengajar dan masanya sekarang digunakan untuk berulang-alik ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan susulan.
Baginya sambutan Hari Guru hari ini adalah saat yang paling menyedihkan kerana beliau tidak berada di sekolah seperti yang lazim dilakukannya.
''Saya merindui semua anak-anak murid saya di SJKC Sungai Udang dan tugas mendidik yang sudah lama saya tinggalkan sejak kaki kiri terpaksa dipotong pada Oktober tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu di rumahnya di Taman Sin, Semabok di sini hari ini.
Isa mengetuai rombongan jabatan itu melawat Kok Koon di samping menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sempena Hari Guru.Utusan Malaysia Online: 18 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan