Isnin, 28 Jun 2010

6 guru terima anugerah khas

SEREMBAN 27 Jun - Seramai enam guru terpilih menerima anugerah khas sempena sambutan Hari Guru Peringkat negeri di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini malam tadi.

Perhimpunan yang dihadiri oleh lebih 15,000 tenaga pendidik dari seluruh negeri ini telah menyaksikan enam guru berkenaan menerima anugerah tokoh guru dalam kategori berasingan.

Kesemua anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sambil diiringi Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad.

Bagi anugerah utama, Salmah Samat, 65, yang merupakan seorang bekas guru dinobatkan sebagai Tokoh Guru 2010 peringkat negeri.

Menerusi anugerah itu, Salmah menerima wang tunai RM5,000 serta plak iringan, selempang termasuk sijil.

Sementara itu, guru pemulihan khas, Sekolah Kebangsaan (SK) Serting Ulu, Jempol, Noorzaliyati Ramli pula terpilih sebagai penerima anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas 2010 negeri.

Dalam pada itu, hasil sumbangan seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad, Kuala Pilah yang berjaya memantapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran Orang Kurang Upaya (OKU) telah melayakkan Mazlan Bulat menjadi penerima anugerah Guru Cemerlang OKU 2010 negeri.

Di samping itu, tiga lagi guru, Noraini Kassim dari Sekolah Menengah Sains Seremban telah dipilih sebagai Guru Inovatif Sekolah Menengah; Khazimah Mahmud dari SK Tanjong Rembau pula terpilih untuk menjadi Guru Inovatif Sekolah Rendah manakala anugerah Guru Inovatif Prasekolah diberikan kepada, Norzie Edlyza Hamdan dari SK Panchor, Seremban.

Kesemua lima penerima anugerah lain itu menerima wang tunai sebanyak RM2,000 beserta plak iringan dan sijil setiap seorang.

Menurut Mohamad, perhimpunan tersebut merupakan langkah kerajaan negeri menterjemahkan rasa terima kasih dan syukur di atas komitmen tinggi seluruh warga pendidik yang telah menyumbang ke arah peningkatan prestasi pendidikan di negeri ini.

Utusan Malaysia Online: 28 Jun 2010

Tiada ulasan: