Selasa, 29 Jun 2010

PIBG SK Desa Jasmin jadi contoh di NS, seluruh negara



MOHD. Puad Zarkashi (duduk, tengah), Ramli Abdul Karim (duduk kiri sekali) bersama guru-guru dan AJK PIBG selepas melancarkan Projek Gemilang Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin di Nilai, Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 28 Jun - Walaupun baru dibuka 10 tahun lalu, Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin (SKDJ), Nilai dekat sini sudah mula menempa nama di peringkat negeri dan kebangsaan.

Lebih menarik, sekolah itu baru setahun keluar daripada status Sekolah Kurang Murid (SKM) dan kini dengan kedudukan Sekolah Gred B.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara terbuka mengumumkan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKDJ adalah yang pertama di kalangan 10,000 sekolah di seluruh negara mempunyai perancangan rapi ke arah sasaran mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Beliau mengumumkan demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis Pelancaran Projek Gemilang SKDJ 2010/2015 di padang perhimpunan sekolah itu, Sabtu lalu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli; Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad, Guru Besar SKDJ, Azizah Abdul Latiff dan Yang Dipertua PIBG SKDJ, Ramli Abdul Karim.

Menerusi projek itu, PIBG SKDJ meletakkan matlamat supaya sekolah berkenaan yang kini mempunyai 1,083 murid mencapai status SBT selewat-lewatnya pada 2015 dengan merangka pelbagai program ke arah pencapaiannya.

Ini termasuk melaksanakan aktiviti sokongan akademik seperti tuisyen malam, bengkel menjawab soalan, kurus motivasi dan pelbagai program peningkatan jati diri serta pembentukan modal insan.

Selain itu, pihak PIBG merancang kerjasama dan hubungan dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara iaitu bagi memenuhi syarat serta kelayakan bagi mencapai status SBT.

Ramli dalam ucapannya memberitahu, pada masa yang sama projek berkenaan dilancarkan bertujuan mengumpulkan dana yang secukupnya untuk persatuan itu.

Katanya, ini bagi membolehkan pihak PIBG menampung kos menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan juga membiayai pembinaan sebahagian infrastruktur serta keperluan tambahan di sekolah.

Tambah beliau, bagi tujuan itu, pihaknya akan memohon sumbangan atau peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sembilan dan juga syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat awam serta syarikat persendirian.

"Antara projek yang sedang kami usahakan ialah pembinaan bumbung menghubungkan dua blok bangunan yang menjadi tempat perhimpunan anak-anak setiap hari bagi memastikan mereka terlindung daripada keadaan berpanas dan berhujan.

"Selain itu, kita juga merayu kepada pihak kerajaan supaya dapat meluluskan peruntukan membuka makmal komputer di SKDJ," katanya.

Sebagai respons terhadap permohonan dikemukakan itu, Mohd. Puad dalam ucapan perasmiannya memberitahu, beliau akan mengarahkan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran melawat SKDJ untuk berbincang dengan pihak PIBG serta pentadbiran sekolah.

"Pegawai-pegawai ini akan datang berbincang projek mana yang kita hendak luluskan dulu mengikut keutamaan. Jika pembinaan bumbung yang sangat diperlukan, kementerian akan timbang dan luluskan itu dahulu.

"Kementerian tiada halangan menyokong Projek Gemilang SKDJ ini kerana saya melihat ia suatu program pembangunan lima tahun yang realistik dan mempunyai gerak kerja rapi," kata Mohd. Puad.

Terdahulu, Abdullah dalam ucapannya memuji PIBG dan pentadbiran SKDJ yang menjalin kerjasama erat dan mempunyai satu matlamat iaitu mengangkat imej SKDJ menerusi sasaran menjadikannya berstatus SBT.

"Saya menyeru semua sekolah dan PIBG di Negeri Sembilan mencontohi PIBG SKDJ dari segi perancangan yang jelas dan realistik untuk membantu mengangkat nama dan imej sekolah," katanya.


Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2010

Tiada ulasan: