Jumaat, 4 Jun 2010

Guru perlu kuasai ciri pekerja berpengetahuan


Sebahagian daripada 309 graduan yang menerima Diploma Perguruan pada Konvokesyen Ke-10 Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis di Dewan Warisan, Kangar, semalam. -utusan/Faizal Abu Hassan


KANGAR 3 Jun - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan golongan pendidik supaya menguasai ciri-ciri pekerja berpengetahuan sebelum menyampaikan ilmu kepada murid-murid sekolah.

Baginda menasihatkan penguasaan ciri-ciri itu adalah asas penting dalam penyampaian ilmu kepada waris masa depan.

"Saya mengesyorkan para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis sentiasa rasional dan peka terhadap alam sekeliling dan dapat meneliti dahulu, memahami, menguasai dan mengamalkan ciri pekerja berpengetahuan," titah baginda.

Baginda bertitah, perkara tersebut penting dalam melaksanakan tugas sebagai guru supaya aspirasi dan harapan kerajaan dapat dipenuhi.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, adalah penting setiap individu pendidik dapat mengimbangi keterampilan diri dengan ilmu psikologi dan unsur kerohanian dalam mentarbiahkan segala ilmu yang diberi kepada anak didik masing-masing.

"Ini bertujuan supaya kecemerlangan dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan dapat dicapai dalam menerajui perubahan global untuk melahirkan insan cemerlang yang akan merealisasikan wawasan negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucapan perasmian Konvokesyen ke-10 IPG Kampus Perlis yang turut dihadiri oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Dewan Warisan di sini hari ini.

Antara ciri 'k-workers' yang ditekankan oleh baginda ialah guru perlu mempunyai mobiliti daya suai dan daya tahan yang tinggi, mempunyai kepelbagaian kemahiran dan berpengetahuan teknologi maklumat.

Selain itu, guru juga perlu mempunyai nilai kasih sayang, hormat menghormati, bertoleransi dan berhemah semasa berhadapan dengan murid-murid terutama yang bermasalah dalam pelajaran.

Baginda juga bertitah bahawa pendidikan adalah kuasa pengubah negara yang akan terus menerus menjadi pemangkin kemajuan negara yang dinamik untuk seluruh lapisan rakyat menghadapi cabaran dunia akan datang.

"Saya menyeru kepada semua graduan agar dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini sebagai suatu ibadah yang dapat meningkatkan lagi sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara bagi mengimbangi antara tuntutan dunia dan akhirat," titah baginda.

Sementara itu, pada konvokesyen tersebut Farah Wahida Abu Bakar, 27, guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Genting, Pendang, Kedah, diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Kursus Dalam Cuti (KDC).

Sementara itu, Faridah Ramli, 43, guru di Tadika Perpaduan Mawar, Arau muncul penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Secara Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC).

Anugerah Cemerlang Akademik bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) diberi kepada Sharifah Aishah Syed Jasin, 31, yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Shah Alam sebagai guru pemulihan khas.

Khaironnajmi Haron, 26, pula menerima Anugerah Cemerlang Praktikum bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) dan kini berkhidmat di SK Pasir Gudang 1, Pasir Gudang, Johor.

Anugerah Cemerlang Kokurikulum pula diberi kepada Mohd. Shaiful Amiruddin Mohd. Safuan, 26, bagi Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) yang kini berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Matematik di SK Batu Tiga, Kluang, Johor.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2010

Tiada ulasan: