Selasa, 29 Jun 2010

Calon KPLI hamil terkilan rayuan tak dilayan

2010/06/29

TERDAHULU saya mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sejak menjawat Menteri Pelajaran tidak henti-henti membuat perubahan hebat demi meningkatkan imej kementerian dan pendidikan negara ini.

Melihat angin perubahan yang dicanang pucuk pimpinan kementerian itu, saya turut bersemangat untuk menyertainya.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila saya terpaksa membuat penangguhan atas alasan yang tidak boleh dielakkan.

Disember 2008 saat paling gembira buat saya selepas menerima tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2009 di Institut Perguruan Kent, Tuaran, Sabah.

Namun, saya terpaksa menangguhkan tawaran itu kerana disahkan hamil oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu, Sabah.

Saya bertekad membuat rayuan untuk kemasukan tahun berikutnya.
Sejak itu saya tidak putus berhubung melalui surat rasmi dengan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Putrajaya mengenai status rayuan yang dibuat dengan harapan ditempatkan di mana-mana Institut Pendidikan Guru untuk KPLI Januari 2010 dan Jun 2010.
Bagaimanapun, semua rayuan saya ibarat mencurah air ke daun keladi kerana sehingga kini belum menampakkan hasil malah masih tiada sebarang jawapan.

Sehubungan itu, timbul persoalan mengenai dakwaan kebanyakan pihak rayuan penangguhan kemasukan KPLI tidak dilayan kementerian walau atas alasan apa sekali pun termasuk hamil.

Jika dakwaan itu benar, kementerian harus lebih bertimbang rasa kerana tidak wajar malah menyalahi lunas agama jika calon KPLI yang hamil bertindak menggugurkan kandungan semata-mata kerana kerenah birokrasi seperti ini. Jika ada yang bertindak sedemikian, adakah ini calon guru yang dicari untuk membimbing anak bangsa?

Kementerian patut memberi pertimbangan terbaik kerana saya sudah melepasi semua halangan terutama peperiksaan MTEST yang begitu mencabar. Berapa ramai graduan yang mengambil peperiksaan itu gagal sehingga ada calon sudah lima mendudukinya.
Kementerian juga harus menyediakan data bank bagi menempatkan kes seperti ini yang sah layak dan hanya terus memanggil semula tanpa syarat untuk kemasukan seterusnya.

Kesannya, sudah tentu dapat menjimatkan masa dan wang rakyat di samping slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan benar dipraktikkan.
Kini, saya masih menunggu dengan harapan menggunung daripada pihak Kementerian Pelajaran di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri yang dihormati. Saya kini bersedia ditempatkan di mana-mana saja IPG di seluruh negara bagi KPLI ambilan Jun 2010.

MASRINA MOHD YUNOS,
Kota Kinabalu, Sabah

Berita Harian Online: 29 Jun 2010

Tiada ulasan: