Ahad, 27 Jun 2010

SKDJ pertama laksana Projek Gemilang SBT

SEREMBAN 26 Jun - Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin (SKDJ), Nilai di sini mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sekolah pertama di negara ini melaksanakan Projek Gemilang ke arah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjelang 2015.

Antara yang menarik mengenai projek berkenaan adalah ia dibentuk oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKDJ bagi membantu pihak pentadbiran sekolah membangunkan sekolah tersebut secara komprehensif dari segi akademik, modal insan dan infrastruktur termasuk alat bantuan mengajar.

Untuk itu, pihak PIBG sekolah tersebut akan memberi fokus kepada usaha-usaha mencari dana yang dianggarkan sebanyak RM2.8 juta bagi merealisasikan matlamat mencapai status SBT dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, projek sedemikian merupakan yang pertama seumpamanya dan seharusnya dicontohi oleh sekolah-sekolah lain di negara ini.

''Setelah setahun saya memegang jawatan ini, ini merupakan sekolah pertama dari 10,000 sekolah yang terdapat di negara ini untuk menjalankan projek sebegini.

''Saya amat gembira dan menyokong penuh usaha yang ditunjukkan oleh pihak PIBG dan pengurusan sekolah ini kerana berjaya membentuk sebuah projek yang begitu terancang dan teliti dalam membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan sekolah di negara ini," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek berkenaan di SKDJ, Nilai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dan Yang Dipertua PIBG SKDJ, Ramli Abdul Karim.

Utusan Malaysia Online: 27 Jun 2010

Tiada ulasan: