Selasa, 29 Jun 2010

SMK Seksyen 3, Bandar Kinrara kumpul RM35,000

PUCHONG 28 Jun - Kempen Hari Bacathon yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 3, Bandar Kinrara, Puchong dilihat sangat berjaya apabila menerima sumbangan daripada pelbagai pihak lebih RM35,000 setakat ini.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohamad Haron Mohamad Sidik berkata, wang itu akan digunakan untuk aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi tahun 2010.

"Program ini juga dapat menanam semangat cintakan sekolah di kalangan ibu bapa, guru dan murid serta merapatkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan antara penduduk sekitar dengan warga sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis perasmian Kempen Hari Bacathon sekolah itu, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Seksyen 3, Bandar Kinrara, Zawiah Yahya.

Sementara itu, Mohamad Satim dalam ucapannya mengingatkan semua bahawa budaya membaca dari alam persekolahan hingga akhir hayat perlu dijadikan budaya.

"Seseorang itu dihormati dan disanjungi oleh masyarakat jika dia individu yang berpengetahuan dan berilmu tinggi," katanya.

Dalam majlis itu juga, Mohamad Satim menyumbang RM5,000 sebagai tanda menyokong penuh Hari Bacathon 2010 anjuran PIBG sekolah tersebut.

Selain itu, beliau mengumumkan bantuan kewangan melalui Yayasan Pendidikan Puchong (YPP) bagi pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading tempatan.

Beliau turut mengumumkan 20 buah sekolah menengah dan rendah di DUN Sri Serdang akan menerima tajaan akhbar sebanyak 47,000 naskhah selama dua tahun mulai Julai 2010 hingga November 2011.

Pada majlis itu juga, Mohamad Satim menyampaikan hadiah kepada pemenang yang membuat kutipan tertinggi sepanjang kempen Hari Bacathon di sekolah itu.

Siti Zuhairah Zawanah Mohamad Haron yang berjaya mengutip sumbangan RM1,411 menerima hadiah sebuah komputer riba, Teoh Pei Shuang (RM1,322) mendapat seunit Kamus BESTA manakala Muhammad Haziq Mohd. Kamal (RM1,020) mendapat sebuah basikal.

Majlis perasmian itu dimeriahkan lagi dengan persembahan pancaragam oleh pelajar, pameran rumah hantu, gerai jualan dan sudut Bacathon.

Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2010

Tiada ulasan: