Isnin, 21 Jun 2010

'Guru' perkasakan budaya membaca

LANGKAH Kerajaan Negeri Terengganu memperkenalkan Anugerah Tokoh Nilam Guru tahun ini dilihat sebagai satu daripada usaha yang relevan untuk merealisasikan matlamat menjadikan bumi Darul Iman sebagai negeri Anjung Ilmu.

Apabila Kerajaan Terengganu memperlihatkan kesungguhannya untuk menyertai pihak yang prihatin akan perkara ini dengan memperkenalkan anugerah tersebut maka kita perlu melihatnya dari perspektif yang lebih luas.

Pertama, walaupun setakat ini anugerah itu diberi kepada kaum guru, masyarakat umum perlu menganggap bahawa mereka juga perlu membaca kerana mereka 'guru kepada diri sendiri'.

Hukama pernah berkata bahawa setiap manusia itu arkitek kepada dirinya sendiri dan membaca merupakan satu daripada tindakan yang efektif untuk membina 'struktur bangunan kehidupan' yang berkualiti.

Semua tokoh utama dunia dan individu yang berjaya dalam kehidupan di negara ini termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan individu yang rapat dengan buku.

Pada halaman 752 buku biografi 'Najib Perdana Menteri Ke-6', karya Yusof Harun dan Noor Asmah M.N, tertera kenyataan Perdana Menteri iaitu; "Perubahan sikap seseorang sering kali berpunca daripada maklumat yang diperoleh, ilmu yang didapati, dan diimbang oleh nilai yang dipegang."

Peluasan pemahaman mengenai istilah guru juga wajar dilihat dari perspektif peranan dan tangungjawab ibu bapa terhadap anak-anak. Setiap individu yang bergelar ibu dan setiap individu yang bergelar bapa sewajarnya menjadi guru yang pertama kepada anak-anaknya.

Malangnya, apabila soal pembacaan diketengahkan, ada pihak berkata bahawa tidak semua individu mampu membeli buku dan buku yang dijual di negara ini mahal berbanding buku yang dipasarkan di negara luar.

Kenyataan seumpama ini tidak wajar diterima untuk menidakkan amalan membaca. Hujahnya begini; jika seseorang itu tidak mampu membeli buku, mereka boleh berkunjung ke perpustakaan.

Hujah yang lain ialah dalam keadaan sesetengah individu sanggup berhabis-habisan membeli kad prabayar telefon bimbit, mereka sebaliknya tidak begitu berkesanggupan untuk 'bergolok bergadai' membeli bahan bacaan.

Sebenarnya ini masalah sikap. Kita masih melihat bahawa budaya membaca itu kurang penting berbanding perkara lain. Hal ini memerlukan satu perubahan yang menyeluruh, dan perubahan itu diharap dapat dimulakan oleh ibu bapa.

Dalam hal ini, pepatah Melayu; "Bapa borek, anak rintik", perlulah dijadikan pedoman. Satu perkara yang mungkin sesetengah ahli masyarakat kita, khususnya kaum guru 'terlupa' ialah semua orang dewasa perlu bertindak sebagai 'ibu bapa' kepada individu yang lebih muda daripada mereka.

Dalam konteks ini, guru merupakan ibu bapa di sekolah. Oleh sebab itu, guru perlu melihat tanggungjawab menyemai minat membaca ini sebagai satu daripada khidmat sosial mereka kepada pelajar.

Kita tidak menafikan bahawa sudah ramai guru yang mengambil inisiatif itu, namun saranan ini perlulah juga dilihat oleh guru yang masih belum 'turun gelanggang' dan hanya bersikap memerhati.

Penulis merupakan penerima Anugerah Tokoh Nilam Guru Terengganu

Utusan malaysia Online: 21 Jun 2010

Tiada ulasan: