Isnin, 14 Jun 2010

Melaka & Negeri Sembilan: Guru penggerak pelajar jadi Kadet JPAM

2010/06/14

LABU: Guru sekolah menengah akan menjadi tenaga penggerak utama untuk mempopularkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di kalangan pelajar dan membantu menambah sukarelawan pasukan itu kepada 100,000 tahun ini.

Bagi tujuan itu, 20 guru sekolah menengah negeri ini dilantik sebagai pegawai penyelaras dan menerima pemakaian pangkat Leftenan Muda JPAM pada perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat JPAM negeri, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sembilan, Mat Zin Bujang, berkata kumpulan guru berkenaan berjaya melepasi empat fasa latihan iaitu kawad, melawan kebakaran, mencari dan menyelamat serta memberi bantuan kecemasan.

Katanya, latihan itu melengkapkan kumpulan guru berkenaan dengan kemahiran bersepadu yang dapat didedahkan kepada pelajar yang menyertai Kadet JPAM di sekolah masing-masing serta menjadi sukarelawan JPAM.

“Latihan itu diberi percuma dan saya memuji kesungguhan guru kerana latihan itu agak berat. Kami harap kemahiran itu dapat membantu menarik lebih ramai pelajar menyertai Kadet JPAM.

“Melalui pendedahan di sekolah, ia juga dapat membantu JPAM mencapai sasaran 100,000 sukarelawan tahun ini sejajar peningkatan kes kecemasan yang dilaporkan di negeri ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid dan Timbalan Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sembilan, Norasmawi Abdul Mutalib.
Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra, Lenggeng, Afiq Fahmi Jasman, 25, yang menerima pangkat Leftenan Muda, berpuas hati dengan kemahiran yang dipelajarinya.

“Antara kemahiran itu ialah menyelamat mangsa kebakaran atau lemas, memasang ikatan tali untuk menyelamatkan di kawasan tinggi, membaca kompas dan peta untuk mencari mangsa yang sesat dalam hutan,” katanya.

Guru SMK Undang Rembau, Rashimah Abu Bakar, 48, menggalakkan lebih ramai guru, termasuk wanita menyertai pasukan sukarelawan JPAM.

“Kebanyakan wanita cepat panik jika berlaku kecemasan, tetapi dengan kemahiran ini, mereka bukan saja dapat mengatasi kelemahan itu, malah membantu menyelamatkan orang lain,” katanya.

Berita Harian Online: 14 Jun 2010

Tiada ulasan: