Ahad, 6 Jun 2010

Pengetua atur cuti Sabtu guru

2010/06/06

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan guru besar dan pengetua mengeluarkan takwim serta mengatur jadual guru dengan terancang supaya pelaksanaan cuti dua kali Sabtu sebulan dapat dilaksanakan seperti ditetapkan pekeliling Kementerian Pelajaran.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata hanya perancangan teratur akan menjamin pelaksanaan cuti dua kali Sabtu itu berjalan lancar dan sebaiknya guru terbabit dimaklumkan lebih awal.
Katanya, beliau tidak mahu perkara berkenaan hanya tertulis sebagai pekeliling saja tetapi tidak dapat dipraktik dan guru terus menerima bebanan tugasan yang banyak.

“Kita harap dengan adanya pekeliling itu, tiada pihak lain seperti Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program atau kursus pada Sabtu yang sepatutnya menjadi waktu rehat guru. Apa yang penting, hal berkaitan sekolah dan pelajar perlu diutamakan berbanding program peringkat PPD,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengenai usaha terbaru Kementerian Pelajaran mewajibkan guru besar dan pengetua memberikan guru dua kali Sabtu setiap bulan untuk mengurangkan beban tugas mereka.

Katanya, guru besar dan pengetua tidak boleh memaksa guru bertugas pada setiap Sabtu untuk aktiviti kokurikulum dan akademik bagi memberi ruang kepada mereka berehat.

Sabri berkata, beliau berpendapat pemberian cuti dua kali Sabtu setiap bulan itu memberi kebaikan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi yang menggunakan bangunan sekolah yang sama.
“Pemberian cuti itu akan memudahkan guru di sekolah dua sesi merancang jadual mereka dan bagi sekolah satu sesi kita harap dengan pemberian cuti dua kali Sabtu itu tidak timbul lagi guru bertugas sehingga 4.30 petang selepas memulakan tugas seawal 7.30 pagi,” katanya.

“Sepatutnya dengan adanya cuti pada Sabtu, guru boleh merancang aktiviti kokurikulum dan akademik dengan lebih sistematik dan mereka boleh pulang awal kerana tidak perlu melaksanakan aktiviti selepas waktu pengajaran,” katanya.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar supaya akur dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran itu.

Katanya, tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mereka mengajar kelas tambahan pada setiap hari Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru itu sendiri.

Berita Harian Online: 6 Jun 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Guru Besar sekolah saya bagus...lebih mementingkan kebajikan guru. hari SABTU tak perlu adakan apa-apa aktiviti. kelas tambahan pun tak payah.
Kalau yg sukarela nak buat.... suka hati. Apa-apa yg berlaku kpd murid pada hari itu, guru perlu tanggung sendiri.. Kata beliau, " Saya tak kisah dgn keputusan UPSR. Yang paling penting... cikgu mengajarlah bersungguh-sungguh waKTU p&p. KEPUTUSAN UPSR TIDAK MENGGAMBARKAN TENTANG KEHEBATAN PARA PENTADBIR DAN GURU-GURU. YANG PENTING.......MURID itu sendiri sama ada hendak berjaya atau tidak." Kata GB saya. Tahniah CIkgu. Satu pendapat yg bernas.
Kalau semua GB macam ni kan bagus........

Tanpa Nama berkata...

Bagus guru besar sekolah cikgu... guru besar sekolah saya dah kata kalau boleh sabtu tak nak kacau cikgu... cikgu2 tahun 6 pulak yang sibuk nak memberi komitmen terlebih dan tertinggi untuk prestasi UPSR pada hari sabtu dan cuti sekolah...tak melampau ke tu? dah lah hari kerja pun suruh mengajar kelas tambahan. sabtu dan cutu sekolah pun kerah cikgu... ingat cikgu takde keluarga sendiri dan perlu rehat? kalau nak kelas tambahan pun buat lah sendiri tak payah lah kacau orang lain...

Tanpa Nama berkata...

Bagus guru besar sekolah cikgu... guru besar dah kata kalau boleh sabtu tak nak kacau cikgu... cikgu2 tahun 6 pulak yang sibuk nak memberri komitmen tinggi untuk prestasi UPSR pada hari sabtu dan cuti sekolah...tak melampau ke tu? dah lah hari kerja pun suruh mengajar kelas tambahan. ingat cikgu takde keluarga sendiri dan perlu rehat?