Ahad, 20 Jun 2010

Lulusan UEC berpeluang jadi guru bahasa Mandarin

MUAR 19 Jun - Walaupun kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) namun kerajaan tetap memberi peluang kerjaya kepada lepasan sekolah persendirian Cina itu untuk menjadi guru bahasa Mandarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lulusan UEC akan diberi pertimbangan menyertai kerjaya tersebut dengan syarat mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina.

"Kerajaan sejak dulu tidak mengiktiraf UEC kerana silibus yang tidak sama dengan sistem kebangsaan dan ia bukan berlaku kepada sekolah persendirian Cina sahaja kerana ada sekolah-sekolah agama (Islam) pun kita tidak iktiraf.

"Bagaimanapun, lulusan UEC (dari sekolah persendirian Cina) ini boleh dimanfaatkan kerana bahasa Cina dia bagus dan kita bagi peluang kerjaya supaya mereka boleh lebih maju ke depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Dewan Sri Pekembar, Pagoh dekat sini hari ini.

Terdahulu, semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan MCA Bahagian Pagoh di Grisek, Ledang, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengiktirafan terhadap UEC akan hanya dapat dibuat sekiranya kurikulum di sekolah persendirian berkenaan mematuhi standard yang ditetapkan dalam sistem kebangsaan.

"Pengiktirafan terhadap lepasan-lepasan sekolah agama pun hanya dibuat selepas mereka menyelaraskan sistem pelajaran mereka kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang kita tetapkan," katanya.

Beliau memberitahu, pengambilan lulusan UEC sebagai guru bahasa Mandarin adalah selaras dengan dasar kementerian yang membuka peluang kepada setiap pelajar untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

"Tidak ada kekurangan yang kritikal terhadap guru bahasa Mandarin, cuma susah penukaran guru untuk dibuat, di mana ada keperluan, kita akan tambah guru," katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil terhadap keperluan masyarakat setiap kaum dalam bidang pelajaran dengan peruntukan RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) di seluruh negara.

Utusan Malaysia Online: 20 Jun 2010

Tiada ulasan: