Rabu, 23 Jun 2010

Bukan semua guru hadir aktiviti Sabtu

2010/06/23

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk aduan ‘Bakal DG48, Pinggiran Putra, Putrajaya’ yang disiarkan ruangan ini bertarikh 22 Mei lalu bertajuk ‘Pentadbir sekolah wajar ubah sikap’.

Isu yang dibangkitkan oleh Bakal DG48 ialah ‘guru dipaksa menghadiri mesyuarat dengan pengetua tiga kali seminggu dan taklimat dua kali seminggu.

Kalau tak cukup lima hari seminggu terpaksa dibuat pada Sabtu. Guru diarah membuat kerja tidak berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) seperti Hari Q sekolah.’

Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan (PPWP) Putrajaya mengambil serius perkara ini dan menjalankan siasatan terhadap aduan Bakal DG48. PPWP Putrajaya mengeluarkan surat ‘kajian mengenai beban guru’ bertarikh 24 Mei lalu (KPM.PPWPP.(S).620-1/5/8) bagi mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat yang dijalankan pihak sekolah dalam satu minggu dan aktiviti dijalankan pada Sabtu bermula Januari hingga Jun 2010.

Di Wilayah Persekutuan Putrajaya ada sebanyak 20 sekolah termasuk sekolah menengah dan sekolah rendah sudah memberikan maklum balas melalui borang ‘kajian mengenai beban guru’ yang diberikan.

Hasil siasatan dan pemantauan dijalankan PPWP Putrajaya mendapati aduan Bakal DG48 adalah tidak berasas. Mesyuarat sekolah yang membabitkan semua guru hanya diadakan sekali seminggu, manakala mesyuarat membabitkan ahli jawatankuasa tertentu diadakan mengikut keperluan.

Berdasarkan laporan aktiviti Sabtu dari sekolah Putrajaya pula, didapati pihak sekolah hanya menjalankan program pendidikan yang bersifat akademik dan kokurikulum pada Sabtu mengikut Surat Pekeliling ikhtisas Bil.8/2005 : Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu.
Untuk makluman aktiviti dijalankan juga tidak semuanya membabitkan semua guru. Hanya guru yang terbabit yang perlu hadir ke aktiviti itu.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 23 Jun 2010

Tiada ulasan: