Jumaat, 25 Jun 2010

Isu pemansuhan UPSR, PMR: Usah cepat melatah

ISU sistem pendidikan negara kembali menarik perhatian khalayak dan menjadi perbualan hangat apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melontarkan cadangan untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Cadangan ini muncul hasil penelitian pihak kementerian yang mendapati sistem pendidikan negara yang sedia ada sekarang terlalu berorientasikan peperiksaan dan tidak berapa membantu dalam melahirkan modal insan yang cemerlang seperti yang dihasratkan oleh semua pihak.

Lantaran cadangan tersebut, maka mula kedengaran pelbagai maklum balas yang berbentuk pandangan, cadangan, syor dan juga penentangan dari pelbagai pihak yang berkaitan.

Antara pihak yang mula melontarkan pandangan masing-masing ialah badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan, parti politik dan juga para guru dan pelajar secara individu yang mula mengemukakan berbagai maklum balas mengikut pandangan dan persepsi masing-masing.

Ada yang dengan lantang terus menolak cadangan tersebut dengan alasan mereka tersendiri. Ada pula yang terus menyokong 100 peratus cadangan pemansuhan tersebut. Tidak kurang juga yang memberikan cadangan baru seperti hanya memansuhkan salah satu daripada dua peperiksaan tersebut sama ada UPSR ataupun PMR dan bukannya kedua-duanya sekaligus.

Senario ini menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah mula berkembang menjadi sebuah masyarakat yang cukup responsif dengan apa yang berlaku di sekitar mereka lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal kepentingan umum seperti isu pemansuhan UPSR dan PMR ini.

Ternyata tindakan sebegini amat membantu pihak-pihak yang berkenaan terutamanya pihak KPM dalam memperhalusi kembali cadangan mereka dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas tersebut baik dari sudut pro mahupun dari aspek kontranya.

Namun satu perkara yang tidak patut timbul ialah ada pihak yang terlalu cepat melatah dan membuat rumusan hanya berdasarkan persepsi sendiri semata-mata lantas tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan pemansuhan tersebut. Lebih menyedihkan lagi apabila isu masa depan anak-anak ini telah dijadikan isu politik apabila ada juga pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka bagi menghentam pihak kerajaan. Bagi golongan ini apa sahaja yang dicadangkan oleh pihak kerajaan semuanya tidak betul. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan budaya menentang dan tidak bersetuju.

Kita percaya KPM yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri telah pun berfikir panjang sebelum mengemukakan cadangan tersebut. Sudah pastinya mereka telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar rujuk yang profesional sebelum berani melontarkan cadangan ini. Maka khalayak perlu melihat secara rasional kebaikan dan keburukan cadangan tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga wajar puji sikap keterbukaan KPM dan TPM sendiri yang mengalu-alukan pandangan dan maklum balas semua pihak mengenai cadangan pemansuhan ini. Ini kerana perkara ini masih dalam peringkat cadangan semata-mata dan belum ada sebarang keputusan muktamad dari pihak kerajaan. Ia juga menunjukkan masih ada ruang untuk perbincangan.

Maka wajarlah kita menggunakan peluang dan ruang yang disediakan oleh KPM ini untuk mengutarakan maklum balas yang bernas dan membina dengan justifikasi yang rasional dan kukuh supaya ia dapat membantu KPM membuat keputusan yang terbaik demi masa depan generasi yang akan datang.

Sejarah membuktikan bahawa tindakan pihak kerajaan sebelum ini seperti menukar peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) kepada PMR serta memperkenalkan sijil terbuka di peringkat SPM memang telah pun ditentang dan tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak pada peringkat awalnya. Namun setelah ia dilaksanakan, kesemua pihak yang pada mulanya tidak bersetuju akhirnya sedar dan mengakui kelebihan dan kebaikan pembaharuan tersebut.

Justeru usahlah kita cepat melatah dan terus menentang cadangan pemansuhan ini. Kemukakanlah maklum balas yang membina kepada KPM agar dapat membantu mereka membuat keputusan yang terbaik demi masa depan anak-anak kita.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor


Utusan Malaysia Online: 25 Jun 2010

Tiada ulasan: