Sabtu, 5 Jun 2010

Disiplin kronik: Penjelasan PIBG SMK Seri Garing

RAWANG 4 Jun - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing di sini akhirnya tampil membetulkan kenyataan terhadap beberapa laporan yang dikeluarkan akhbar sebelum ini mengenai masalah disiplin sekolah itu.

Yang Dipertua (YDP) PIBG SMK Seri Garing, Chin Wan Cheong menjelaskan, gambaran yang diberikan oleh laporan akhbar sebelum ini bukan situasi sebenar berlaku khususnya dakwaan sekolah itu sebagai tempat pelajar nakal melakukan jenayah dan aktiviti tidak sihat.

Ekoran laporan itu, katanya, ia bukan sahaja telah menjejaskan nama baik dan prestasi sekolah tetapi memberi kesan negatif kepada ibu bapa dan pelajar.

Menurutnya, ada ibu bapa yang tidak lagi membenarkan anak masing-masing aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana bimbang dan takut dengan persekitaran sekolah.

"Laporan ini bukan sahaja amat mengecewakan malah turut menyinggung perasaan hingga menjatuhkan moral para pelajar dan guru.

"Justeru kita mengadakan sidang akhbar bukan untuk menuding jari menyalah mana-mana pihak sebaliknya mahu sama-sama mencari penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar anjuran PIBG sekolah berkenaan dengan kerjasama Majlis Permuafakatan PIBG Rawang dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Rawang, Mohamed Saufi Shafie, bekas YDP PIBG SMK Seri Garing, Sub-Inspektor V. Subramaniam dan beberapa exco PIBG sekolah itu.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan sekolah itu menghadapi pelbagai masalah disiplin yang serius termasuk gangsterisme, peras ugut, cabul, kegiatan minum arak dan pengedaran dadah sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan para pelajar dan masyarakat setempat.

Wan Cheong menambah, pihaknya berasa amat kesal dengan dakwaan kononnya sekolah berkenaan mempunyai masalah disiplin kronik.

Sedangkan, tegas beliau, sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang berada pada kedudukan teratas dalam carta sekolah yang melakukan kesalahan disiplin minimum di daerah Gombak.

Bukan itu sahaja, jelasnya, laporan yang melabelkan sekolah tersebut sebagai 'sekolah neraka' juga amat mendukacitakan sedangkan ia sepatutnya menjadi sebuah institusi yang melahirkan pelajar yang bakal mewarisi negara.

Malah, tegasnya, sekolah tersebut juga telah melahirkan ramai warga yang berjaya antaranya Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan.

Sambil menolak dakwaan kononnya ada kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan demi menjaga reputasi sekolah itu, Wan Cheong memberitahu, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah.

''Kita juga mengambil langkah proaktif dalam mengawal situasi disiplin sekolah termasuk melakukan lawatan pada setiap minggu selain menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

"Jadi tidak baiklah melabelkan kita seperti itu. Sekolah ini juga mempunyai pencapaian yang baik daripada segi penilaian dalam pengurusan, akademik dan sukan," tambahnya.

Utusan Malaysia Online: 5 Jun 2010

Tiada ulasan: