Jumaat, 18 Jun 2010

Kematian guru ditangisi anak didiknya

MUAR 17 Jun - Tanpa mengira kaum dan agama, kematian guru penolong kanan, Roland Wee Seng Hock, 56, bersama empat ahli keluarganya di Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi tadi, turut ditangisi oleh anak didiknya di sini.

Malah pemergiannya mengejutkan sebuah keluarga berketurunan India yang mengenali mendiang sebagai seorang guru berdedikasi terhadap pelajaran anak-anak muridnya di kelas tuisyen.

Menurut kenalannya, S. Vasanthi, 45, dia mengetahui tentang kejadian kemalangan itu kira-kira pukul 2 petang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima anaknya, C. Sharmmili, 17.

"Saya seperti hendak pengsan membaca SMS dihantar oleh rakan-rakan anak saya mengatakan Mr. Wee dan keluarga maut dalam kemalangan.

"Disebabkan rasa tidak percaya, saya datang ke sini (rumah Mr. Wee) untuk memastikan sendiri dan kini baru saya percaya apabila mendapati rumah itu kosong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Mas Ria, di sini hari ini.

Jelas Vasanthi, kali terakhir dia berjumpa dengan mendiang pada Jumaat lalu ketika menjemput anaknya Sharmmili pulang dari kelas tuisyen.

"Ketika itu, Mr. Wee ada memberitahu ingin bercuti di Kuantan bersama keluarganya sempena cuti sekolah dan kelas tuisyen akan diadakan semula selepas dia pulang ke Muar semula.

"Malah, malam tadi, isteri Mr. Wee (Chew Chin Loi, 54) ada menghantar satu SMS kepada saya kira-kira pukul 8 malam memberitahu kelas tuisyen akan berjalan seperti biasa malam ini," katanya.

Katanya, sepanjang persahabatan sejak enam tahun lalu, tiga anaknya telah belajar di kelas tuisyen dengan mangsa yang mengajar bahasa Inggeris serta Sains.

"Dia merupakan seorang guru yang sangat berdedikasi dalam memberi ilmu kepada pelajar-pelajarnya malah sanggup menghantar pelajarnya pulang ke rumah apabila kelas malam," katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2010

Tiada ulasan: