Khamis, 10 Jun 2010

Empat dipilih Tokoh Guru SPS


ZAINAL Abidin Osman (tiga kiri) dan Ibrahim Mohamed (dua kanan) bersama Tokoh Guru 2010 Seberang Perai Selatan di Institut Latihan Perindustrian Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 9 Jun - Berkat sumbangan bermakna terhadap profesion perguruan, empat individu dipilih sebagai Tokoh Guru 2010 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Antara yang menerima anugerah ialah bekas Penolong Pegawai Sektor Sekolah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Mat Daud Ishak dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Setar, Yaacob Hasan.

Turut menerima pengiktirafan tersebut ialah dua bekas guru iaitu Beh Phaik Kiang dan Jaya Rama Naipal yang banyak menyumbang kepada perkembangan pendidikan termasuk dalam aspek kokurikulum di daerah ini.

Anugerah disampaikan oleh Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria dan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Ibrahim Mohamed.

Mat Daud yang ditemui berkata, penghargaan itu amat bermakna sepanjang berkhidmat sebagai guru selama lebih 20 tahun.

Lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mat, beliau yang dilahirkan pada 22 Februari 1952 mula menceburi bidang perguruan dengan bertugas sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra Langkawi pada 1973.

Walaupun pernah bertugas sebagai Penolong Penguasa Kastam di ibu negara selama setahun, Mat Daud menaruh harapan untuk menjadi seorang guru sebelum menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1978.

''Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya diterima bertugas sebagai guru tetap di SMK Simpang Ampat dan ketika itu saya amat bersyukur kerana impian menjadi guru sepenuh masa akhirnya menjadi kenyataan.

''Bagi saya, minat mendalam dalam profesion ini memberi kepuasan berbeza walaupun saya pernah bekerja di tempat lain," katanya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1992 dan 2004.

Sementara itu Yaacob pula memberitahu, prinsip kegigihan dan kecekalan yang dipegangnya selama ini sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepadanya untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya.

Pernah berkhidmat sebagai penolong kanan di SK Parit Haji Taib, Bagan Serai, Perak, Yaacob memberitahu, walaupun terpaksa berpindah tugas dari satu sekolah ke sekolah lain, ia bukan halangan untuk beliau sentiasa memberi perkhidmatan terbaik.

''Kalau sering berpindah pun kita akan menikmati suasana serta pengalaman berbeza dan ia sebenarnya memberi keseronokan," katanya yang juga bekas Guru Besar SK Nibong Tebal di sini.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2010

Tiada ulasan: