Isnin, 7 Jun 2010

Zulhasnan, M3P rai guru Setiawangsa

KUALA LUMPUR 6 Jun - Seramai 280 orang guru serta tujuh orang guru yang telah bersara dirai pada Majlis Ramah Mesra Hari Guru Parlimen Setiawangsa di sini baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Turut hadir, Pengerusi Majlis Permuafakatan, Pembangunan Pendidikan (M3P), Ruslan Madun.

Zulhasnan dalam ucapannya berkata, aktiviti yang dianjurkan oleh M3P itu merupakan salah satu cara untuk menghargai sumbangan guru khususnya di kawasan Setiawangsa.

"Kami akan sentiasa memberi sokongan padu kepada para guru kerana mereka telah banyak berjasa dalam membangunkan negara menerusi kelahiran generasi masa depan yang berilmu," katanya.

Pada majlis tersebut juga, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada setiap sekolah di kawsan Parlimen Setiawangsa.

Zulhasnan memberitahu, M3P turut merancang untuk mengadakan satu seminar mengenai masalah-masalah yang berlaku di kawasan sekolah.

"Setiap guru besar dan pengetua semua sekolah akan terlibat dalam seminar itu selain wakil-wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Semua masalah termasuk masalah prasarana dan yang melibatkan pelajar sekolah boleh dibangkitkan dan kami akan cuba mengatasinya dengan bantuan dan kerjasama daripada kerajaan," ujarnya.

Parlimen Setiawangsa mempunyai sembilan buah sekolah menengah dan 15 buah sekolah rendah.

Sementara itu, seorang pesara guru, Juvinder Kaur yang pernah mengajar di Sekolah Rendah Setiawangsa menyifatkan majlis itu sebagai sangat bermakna bagi dirinya.

"Ini bukan sahaja merupakan salah satu cara mengenang dan menghargai jasa guru tetapi majlis ini turut mempertemukan kawan-kawan lama yang bertugas sebagai guru satu ketika dahulu," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 7 Jun 2010

Tiada ulasan: