Selasa, 1 Jun 2010

Mengenali Awang Tokoh Guru Malaysia 2010



Awang Mohamad bergambar bersama dengan isterinya, Wan Shamsiah Yahya dan anak-anaknya selepas menerima Anugerah Tokoh Guru di Kuantan, baru-baru ini.


KOTA BHARU 31 Mei - Lebih 500 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan puluhan panggilan telefon diterimanya pada hari itu untuk mengucapkan tahniah kepadanya setelah menerima anugerah sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Ia sangat menyentuh perasaannya yang berbaur dengan kegembiraan dan keharuan, apatah lagi sebilangannya mengutuskan kata-kata, ''Saya berbangga menjadi anak didik cikgu."

Bagi Awang Mohamad, 59, ia pengucapan yang sangat bermakna untuk ditatap dan didengar oleh seorang guru kerana ia sudah cukup sebagai penghargaan tidak ternilai daripada bekas murid-muridnya.

Menurut Awang, beliau tidak menyangka terpilih sebagai Tokoh Guru dan anugerah itu diterima dengan rasa bangga kerana menganggap perkhidmatannya dalam bidang pendidikan selama ini mendapat pengiktirafan.

Beliau berpendapat, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti persatuan di peringkat kebangsaan kemungkinan menyebabkan beliau lebih menyerlah dan khidmatnya diikuti.

Justeru katanya, beliau percaya ia mungkin menjadi salah satu punca mengapa giliran beliau pula kali ini dipilih sebagai salah seorang Tokoh Guru Malaysia 2010.

Turut menerima anugerah itu ialah bekas Pengetua Maktab Perguruan Rajang Sarawak, Encharang Agas; bekas guru dari Pulau Pinang, Datuk Chuang Keng Kung dan bekas Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, Ainun Jamilah Mohd. Ali.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat, trofi dan sijil penghargaan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru ke-39 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Awang aktif memperjuangkan nasib guru melalui penglibatannya sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab.

Selama tiga tahun beliau memperjuangkan nasib guru dan guru besar yang tidak mempunyai ijazah untuk mendapatkan kelayakan itu dan di bawah Program Pensiswazahan Guru dan Guru Besar, kini 80 peratus guru berkenaan mendapat ijazah yang diperoleh melalui kursus hujung minggu.

Beliau juga turut memperjuangkan kenaikan Gred Guru Besar Tertinggi yang satu masa dahulu hanya setakat DGA 34 tetapi kemudiannya meningkat kepada DGA 38.

Daripada perjuangannya juga, guru yang berkelayakan mendapatkan 'Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (Golden Hand Shake)' memperolehnya untuk tempoh empat bulan dan kemudiannya menjadi lima bulan.

Di sebalik kesibukannya berpersatuan, bekas guru besar itu tidak melepaskan tanggungjawab menerajui sekolah dan mendidik murid-murid di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya.

''Saya mahu memberikan sebaik-baik perkhidmatan supaya kejayaan boleh dinikmati oleh mereka yang berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji di sini semalam.

Walaupun terpaksa membahagi masa dalam persatuan katanya, beliau banyak dibantu oleh guru penolong kanan menjalankan tugas dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi daripada guru-guru lain.

Menyingkap sejarah kerjayanya, sebaik sahaja mendapat Diploma Perguruan dari Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim, beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Hamzah, Machang pada 1974.

Beliau bertugas selama enam tahun sebagai guru Matematik dan semasa di sekolah itu, beliau memperkenalkan teknik pengajaran Matematik daripada seorang guru yang terkenal dengan nama Mr. Mahboh Mahyidin.

Dengan kemahiran yang ditimba, beliau kekal sebagai guru pakar Matematik sehingga ke akhir perkhidmatannya dan pernah dilantik sebagai Ketua Unit Matematik Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Selama enam tahun beliau turut mendapat latihan di Pusat Perkembangan Matematik KBSR di Kementerian Pelajaran dan sepanjang tempoh itu juga beliau membimbing hampir 4,000 guru Matematik di Kelantan.

Awang menarik perhatian sikap yang tidak dapat dielakkannya sepanjang perkhidmatan ialah mahu setiap sekolah yang diterajuinya menonjol dalam apa jua bidang agar dapat dibanggakan oleh seluruh warga sekolah.

Selain mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama, beliau juga mengarahkan sekolah itu dicat semula apabila pemerhatiannya sebelum itu mendapati tiada seorang pun ibu bapa yang menoleh ke arah sekolah itu semasa melalui kawasan tersebut.

Setelah mendapat perhatian daripada ibu bapa, beliau mula memberi tumpuan kepada pengajaran bersama guru sehingga mencatatkan lonjakan kepada sekolah itu.

Beliau selepas itu berpindah ke SK Raja Bahar dan kemudian ke SK Islah, SK Kubang Kerian 3 pada 2001 sebelum bersara pada 2006.

Menurutnya, selepas memasuki alam persaraan, beliau masih sukar untuk mengikis sikap sebagai seorang guru yang membentuk keperibadiannya selama ini.

Utusan Malaysia Online: 1 Jun 2010

Tiada ulasan: