Jumaat, 4 Jun 2010

Shafie lepaskan jawatan pegawai tadbir demi jadi guru



MOHD. Shafie Mohd. Khalid bersama ibunya, Habibah Yaakub (kiri) dan tunangnya, Nor Salina Abdul Rahman di IPTHO, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 3 Jun - Seorang pegawai tadbir, Mohd. Shafie Mohd. Khalid, 27, sanggup meletakkan jawatan semata-mata untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi mengejar cita-cita menjadi seorang guru.

Bagaimanapun, pengorbanan yang dilakukan berbaloi apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Keseluruhan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada Majlis Konvokesyen Ke-17 Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO), di sini hari ini.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Geografi itu mengambil program Pengajian Sosial dalam KPLI, merupakan anak ke-13 daripada 16 adik-beradik yang dibesarkan oleh ibu tunggal, Habibah Yaakub, 65.

Menceritakan tentang rahsia kejayaannya, Mohd. Shafie berkata, selain menunaikan sembahyang hajat, dia akan menelefon ibunya setiap kali sebelum peperiksaan untuk meminta restu dan doa.

Menurutnya, ibu juga memberi restu ketika dia hendak berhenti kerja daripada jawatan pegawai tadbir di Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada awal tahun lalu untuk menyertai kerjaya guru.

"Kerjaya sebagai guru memang menjadi cita-cita saya dan walaupun agak berat pada mulanya untuk bertukar kerjaya, namun saya tidak pernah menyesal.

"Lagi pun, emak cakap masuk KPLI senang dapat jodoh dan syukur di sini juga saya bertemu dengan rakan yang kini menjadi tunang saya, masin mulut emak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd. Shafie bertunang dengan bekas rakan sekuliah dalam program Pengajian Sosial, Nor Salina Abdul Rahman, 27.

Sementara itu, ibunya, Habibah yang merupakan peneroka di Felda Sayong, Kulaijaya, berkata, didikan agama dan doa menjadi rahsia kejayaannya membesarkan kesemua 16 cahaya matanya.

"Setelah suami meninggal dunia ketika Shafie dalam darjah tiga, tiada lagi tempat saya bergantung. Hanya Allah menjadi tempat mengadu dan meminta pertolongan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mcmmana org dulu2 jaga anak 13 orang yer..senang lagi nak mengeluarkan tu..ada idea tak macammana nak mudah dan senang nak bersalin...(kontraksi 1 atau 2 jam jak)

Tanpa Nama berkata...

Itu nama Salah satu cikgu di sekolahku,dia guru penolong kanan kokorikulum Dan cikgu Bahasa Melayu