Isnin, 7 Jun 2010

Mengintegrasikan ICT dalam P&P


SEBAHAGIAN daripada peserta yang mengikuti kursus Program Pengajaran Intel di IPG Kampus Ipoh, Perak, baru-baru ini.


IPOH 6 Jun - Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak, menganjurkan Program Pengajaran Intel untuk mengintegrasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Pengarahnya, Abd. Kadir Basiran berkata, melalui kursus lima hari itu peserta dilatih menguasai kemahiran mengajar abad ke-21 menggunakan ICT dan membuat perancangan melalui kaedah Pembelajaran Melalui Projek (Project Based Learning, PBL).

"Pengintegrasian ICT dalam P&P akan memberi kesan dan impak positif kepada pencapaian serta prestasi akademik murid-murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kursus yang disertai 120 pelajar daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) institut itu adalah usahasama Kementerian Pelajaran dengan pihak Intel Education, Malaysia.

Penyelaras program, Suriati Abd. Aziz, ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tiga hari kursus intensif bersama fasilitator dan dua hari lagi untuk projek berkumpulan.

Fasilitator terdiri daripada para pensyarah institut itu yang telah mengikuti kursus berkenaan dan mendapat sijil pengiktirafan daripada Intel.

Dalam pada itu, pengerusi program, Dr. Ismail Zain memberitahu, melalui modul yang dibekalkan oleh Intel, para peserta diminta merancang satu pengajaran yang boleh digunakan di sekolah.

Projek tersebut, katanya, akan dinilai di peringkat IPG dan seterusnya dihantar kepada Intel untuk dipertandingkan di peringkat Kebangsaan.

''Usaha ini mampu mencungkil bakat dan menggalakkan penggunaan ICT dalam pengajaran selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaannya di kalangan guru dan murid-murid,'' jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 7 Jun 2010

Tiada ulasan: