Rabu, 23 Jun 2010

Kerajaan tak tetapkan tempoh masa mansuhkan UPSR, PMR

PUTRAJAYA 22 Jun – Kerajaan tidak akan menetapkan sebarang tempoh masa berhubung keputusan sama ada untuk memansuh atau meneruskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pihak kerajaan mahu memastikan semua pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan di negara ini berpeluang menyuarakan pandangan masing-masing.

‘‘Kita akan ambil masa yang sesuai dan tidak perlu untuk kita gopoh dalam soal-soal sepenting ini.

‘‘Bila kita puas hati nanti, kita akan beritahu keputusannya dan apa pun kita akan menunggu selepas kita puas hati semua pihak sudah menyuarakan pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi SPP, Datuk Kusaini Hasbullah.

Persidangan itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan tujuh kertas kerja dibentang.

Kelmarin, Muhyiddin mencadangkan agar UPSR dan PMR dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, semua maklumat dan pandangan yang diterima berhubung cadangan itu akan diteliti.

Pada masa sama, beliau menambah, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan berhubung cadangan itu.

‘‘Saya masih lagi sedang menunggu dan meneliti banyak maklum balas yang telah mula kita terima daripada pelbagai peringkat golongan dalam masyarakat yang berkepentingan.

‘‘Setakat hari ini nampak bagus, ada pro dan kontra, malah ada yang agak setuju dihapuskan dan ada yang kata tinggalkan satu,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 Jun 2010

Tiada ulasan: