Sabtu, 5 Jun 2010

Subjek sastera wajib dalam BM, BI tahun depan

2010/06/05

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran bakal mewajibkan subjek sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah mulai tahun depan bagi menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata penerapan subjek sastera dalam dua mata pelajaran itu berbeza dengan buku teks yang ada sekarang.
“Kandungan buku teks baru itu kelak tidak sama seperti sekarang kerana kita akan tambah subjek sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Jika selama ini, sastera hanya untuk beberapa peringkat sekolah saja, tetapi mulai tahun depan, kita akan wajibkan kepada semua peringkat termasuk di sekolah rendah.

“Subjek ini akan menyebabkan mereka lebih minat membaca, sekali gus meningkatkan kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pameran buku Read Malaysia 2010, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Country Heights Holding, Mark Rozario dan duta Read Malaysia 2010, Aznil Nawawi.

Pameran buku berteraskan 1Malaysia ini menghimpunkan buku pelbagai bahasa dijual dalam pameran yang berlangsung dari 4 Jun hingga 13 Jun ini.

Sementara itu, Wee berkata, purata membaca dua buku untuk setiap rakyat Malaysia masih tidak mencukupi dan pelajar disaran untuk terus membaca kerana ilmu sering bertukar.
“Pelajar perlu terus membaca kerana ilmu semakin bertambah, selain ada ilmu yang sudah tidak boleh digunakan lagi. Jadi, Kementerian Pelajaran akan terus memupuk budaya membaca di kalangan pelajar menerusi projek Nilam di setiap sekolah.

“Memang tidak dinafikan rakyat kita membaca tetapi hanya majalah dan surat khabar, malah tidak diketahui sama ada bahan bacaan lain yang dibaca itu sesuai untuk mereka.

Berita Harian Online: 5 Jun 2010

Tiada ulasan: