Khamis, 24 Jun 2010

TPM nafi dasar pelajaran dibuat secara tergesa-gesa

KUALA LUMPUR 23 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan tanggapan segelintir pihak bahawa dasar pelajaran negara dibuat secara tergesa-gesa tanpa perancangan khusus, malah ia kononnya kerap dipinda apabila menterinya bertukar.

Sambil merujuk kepada cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian mengenainya telah dibuat sejak 2007 lagi melibatkan pakar-pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran.

"Tidak timbul isu kita buat secara tergesa-gesa atau ad-hoc kerana ia telah diteliti secara mendalam sebelum ini sejak 2007 lagi kerana dasar pelajaran kita dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding negara maju lain.

"Saya sebagai Menteri Pelajaran buat pengumuman bagi mendapatkan maklum balas daripada rakyat yang akan digunakan sebagai pelengkap dan kayu ukur kepada cadangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab celahan ahli-ahli Parlimen semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-9) bagi peringkat Kementerian Pelajaran di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Antara yang mencelah mempersoalkan dasar pelajaran yang dikatakan tidak konsisten itu ialah Datuk Ibrahim Ali (Bebas - Pasir Mas), Che Uda Che Nik (Pas - Sik) dan M. Kulasegaran (DAP - Ipoh Barat).

Ibrahim mempersoalkan kewajaran kerajaan yang dilihat terlalu cepat mengumumkan sesuatu dasar tanpa terlebih dahulu melakukan kajian terperinci, hingga mengelirukan rakyat.

Kulasegaran pula melahirkan kehairanan terhadap dasar pelajaran yang kerap berubah apabila menterinya bertukar, manakala Che Uda pula menyatakan bahawa kerajaan perlu konsisten dalam setiap perkara yang akan dilaksanakan.

"Adakah perubahan dasar dibuat hanya berdasarkan pandangan menteri dan beberapa orang pegawai, adakah kajian terperinci telah dibuat, jangan pula selepas diumum kemudian ditarik balik kerana berasakan ia tidak sesuai," kata Che Uda.

Tambah Muhyiddin, pemansuhan dua peperiksaan utama itu tidak bermakna peperiksaan awam tidak penting.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan supaya anak-anak dapat dibangunkan secara holistik, kreatif dan inovatif.

"Oleh demikian, kementerian saya sedang mengkaji untuk menyusun semula sistem pendidikan sedia ada, termasuklah memperkenalkan sistem pentaksiran berasaskan sekolah dan mencadangkan supaya UPSR dan PMR dimansuhkan.

"Langkah ini juga akan dapat mengelakkan pembelajaran berasaskan hafalan yang kurang memberi penekanan kepada cara berfikir.

"Walaupun saya telah menerima banyak maklum balas positif mengenai cadangan ini, langkah tergesa-gesa tidak akan dilakukan, sebaliknya masa akan diberi untuk mendapat respons daripada pelbagai pihak agar pembaharuan ini dapat difahami dan diterima semua pihak," katanya.

Tambah Muhyiddin, langkah itu juga mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurang beban tugas guru mengendalikan proses peperiksaan.

"Saya juga menjangka ini akan dapat mengurangkan bebanan dan tekanan kepada ibu bapa termasuk wakil rakyat sendiri dalam menyediakan kos-kos tambahan persekolahan seperti bayaran tuisyen, pembelian buku rujukan dan sebagainya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Jun 2010

Tiada ulasan: