Selasa, 29 Jun 2010

Keputusan ikut keperluan

IPOH 28 Jun - Kementerian Pelajaran tidak pernah mengamalkan dasar berubah-ubah atau flip-flop dalam membuat sesuatu keputusan sebaliknya ia dilakukan mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, setiap keputusan diambil adalah untuk mengangkat martabat dan menambah baik sistem pendidikan negara.

"Pendidikan adalah sesuatu yang dinamik, ia perlu disesuaikan dengan keperluan semasa. Kita lakukan untuk penambahbaikan bagi memenuhi tuntutan semasa.

"Kita bukan mempertahankan satu-satu dasar itu hanya kerana takut dikatakan flip-flop, kita kena berani melakukan perubahan," katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Pendidikan Kebangsaan Guru Besar Malaysia Ke-16 dan Persidangan Perwakilan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) di sini, hari ini.

Mohd. Puad menegaskan, guru besar mempunyai peranan penting memastikan matlamat kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti berjaya direalisasikan.

Ketika ditemui selepas majlis itu, beliau berkata, kementerian akan berusaha melaksanakan program pensiswazahan guru seperti hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) baru-baru ini.

"Perdana Menteri mengatakan mahu mencapai 60 peratus (pensiswazahan guru), sekarang kita baru berjaya melaksanakan 28 peratus sahaja. Kita harap matlamat ini dapat dicapai," katanya.

Menurut Mohd. Puad, antara cabaran yang dihadapi bagi menjayakan hasrat tersebut ialah berkaitan faktor umur, kekurangan tempat di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kelayakan minimum untuk mengikuti program.

"Ia juga melibatkan faktor kewangan. Kita yakin dapat peruntukan tambahan untuk memastikan program pensiswazahan guru ditingkatkan seterusnya memartabatkan profesion perguruan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 29 Jun 2010

Tiada ulasan: