Jumaat, 18 Jun 2010

Guru terbabit dalam program pementoran perkhidmatan awam

2010/06/18

KUALA LUMPUR: Lebih ramai kakitangan Kementerian Pelajaran termasuk guru akan dibabitkan dalam Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dalam usaha meningkatkan pemahaman mereka dalam aspek sumber manusia Sektor Awam.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkasi, berkata program itu penting supaya pegawai kementerian dapat memahami dengan jelas isu, permasalahan dan strategi pembangunan negara dalam membina bangsa yang berdaulat.

"Ini juga dapat membantu pegawai kementerian termasuk dari kalangan pendidik menjelaskan isu semasa negara kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Pengurusan Pementoran Pengurusan Awam anjuran kementerian itu di sini, hari ini.

Program itu yang dihadiri 600 peserta dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran pada kelmarin.

Mohd Puad berkata, menerusi program itu pegawai kanan kementerian serta dari sektor awam yang berkaitan bertindak sebagai mentor kepada peserta bagi memudahkan mereka memahami pekeliling perkhidmatan mengenai panduan aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia sektor awam.

"Ini akan dapat membantu memperkasa profesion perguruan dalam menangani perubahan dunia masa kini yang dinamik," katanya.

Mohd Puad juga berkata, Kementerian Pelajaran komited dalam melaksanakan transformasi pendidikan termasuk transformasi di bidang Teknikal dan Vokasional dalam membantu usaha menjayakan matlamat masyarakat yang berkemahiran tinggi khususnya golongan muda.
"Kita turut akan membantu merealisasikan matlamat mewujudkan suasana ekonomi yang berpendapatan tinggi seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan RMK-10 baru-baru ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kajian yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati majoriti rakyat negara ini berpuas hati dengan pencapaian semasa Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang dilaksanakan.

Katanya, kajian itu juga mendapati NKRA pendidikan berada di kedudukan teratas berbanding yang lain. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 18 Jun 2010

Tiada ulasan: