Khamis, 24 Jun 2010

Minda Pengarang: Kerajaan perlu cari alternatif terbaik ganti UPSR, PMR

2010/06/24

PENGUMUMAN Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan ujian khas menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai kelayakan memasuki sekolah berasrama penuh pastinya melegakan ibu bapa.

Walaupun keputusan memansuh atau mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu belum dimuktamadkan, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, kelmarin sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan ibu bapa mengenai masa depan anak-anak mereka, khususnya dalam soal penempatan di sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Kelonggaran kerajaan yang tidak mewajibkan ujian khas itu untuk semua pelajar cemerlang, sebaliknya hanya kepada pelajar berminat untuk ke sekolah berasrama penuh menunjukkan pelajar dan ibu bapa diberi pilihan untuk membuat keputusan sejak awal lagi. Ketika ini masih banyak persoalan mengenai kebaikan dan keburukan pemansuhan UPSR dan PMR belum dapat dileraikan. Jaminan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan tidak menetapkan tempoh masa untuk melaksanakan cadangan itu bagi meneliti terlebih dulu maklum balas daripada pelbagai pihak, menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar pandangan rakyat.

Sebagai ibu bapa, kita memerlukan keputusan terbaik diambil kerajaan dalam situasi menang-menang, sekali gus tidak menjejaskan pembelajaran murid. Sudah pasti ibu bapa mahu melihat alternatif lebih baik jika UPSR dan PMR dimansuhkan, selain soal pengisiannya. Adakah kerja kursus akan diperkenalkan bagi menggantikan peperiksaan akhir tahun seperti yang ada sekarang dan sistem pemarkahan yang akan diguna pakai dalam menilai prestasi murid dari setahun ke setahun? Ini adalah antara persoalan pokok yang perlu dijelaskan Kementerian Pelajaran bagi memberi gambaran awal mengenai sebarang transformasi sistem pendidikan yang bakal dilaksanakan.

Pengumuman Muhyiddin pada sesi penggulungan usul Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) di Dewan Rakyat, lewat petang semalam, untuk memperkenalkan sistem pentaksiran berasaskan sekolah bagi menggantikan sistem peperiksaan adalah antara pendekatan yang mungkin diambil dalam memantapkan lagi sistem pendidikan negara. Melalui sistem itu yang sudah diamalkan di kebanyakan negara, Lembaga Peperiksaan Malaysia akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan kemudian diukur pencapaiannya. Bagi ibu bapa, jaminan Muhyiddin bahawa pendekatan itu tidak akan menjejaskan pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar ketika ini sudah pasti memberi kelegaan kepada semua pihak.

Pastinya pakar pendidikan, ahli akademik, guru dan ibu bapa ternanti-nantikan pelaksanaan sistem pentaksiran ini yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan. Pengurangan tumpuan kepada peperiksaan membolehkan pelajar mempunyai lebih banyak masa diberikan kepada mata pelajaran tertentu serta kegiatan kokurikulum, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan sistem pelajaran. Kita percaya sistem pentaksiran ini dapat mencapai matlamat negara untuk melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi.

Berita Harian Online: 24 Jun 2010

Tiada ulasan: